AM

Banjir : Mangsa Di Kedah, Perlis Meningkat Sedikit Malam Ini

08/10/2024 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) --Situasi banjir yang melanda beberapa negeri tidak menunjukkan perubahan ketara setakat 8 malam ini dengan jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis merekodkan sedikit peningkatan, manakala mangsa di Selangor, Perak, dan Johor menurun sementara di Melaka kekal.

Di Kedah, jumlah mangsa meningkat kepada 1,419 orang daripada 447 keluarga berbanding 1,157 orang daripada 347 keluarga petang tadi dengan Pokok Sena menjadi antara daerah terbaharu dilanda bencana tersebut.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata 597 mangsa berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Setar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, SMK Kepala Batas, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman, SK Titi Gajah, dan SK Haji Idris.

Beliau berkata, bagi daerah Kubang Pasu, 559 mangsa berlindung di enam PPS iaitu SMK Changlun, Dewan PPK Lubuk Batu, SK Malau, SMK Indera Putra, SMK Mahawangsa, dan SK Ahmad Tajuddin manakala di Pendang, seramai 240 individu ditempatkan di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

“Di Baling, seramai 23 mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu SMK Parit Panjang, SK Siong, Dewan Orang Ramai Kampung Haji Abas, dan Sekolah Maktab Mahmud, sementara di Pokok Sena terdapat dua PPS dibuka masing-masing di SK Tualang dan Dewan Serbaguna Pokok Sena dan jumlah mangsa masih dalam proses bancian,” katanya dalam kenyataan.

Di Perlis, menurut data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, bilangan mangsa banjir meningkat kepada 195 mangsa daripada 62 keluarga berbanding 119 orang daripada 38 keluarga petang tadi. Mereka berlindung di tiga PPS, iaitu SK Sena, Kangar (89 mangsa); SK Kubang Gajah, Arau (52 mangsa), dan SK Guar Nangka di Padang Besar (54 mangsa).

Sementara itu, di Selangor, jumlah mangsa banjir yang berlindung di dua PPS iaitu SK Ijok dan SK Bukit Badong, Kuala Selangor, menurun kepada 150 individu daripada 28 keluarga berbanding 152 orang daripada 30 keluarga petang tadi.

Bagi Perak pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 163 orang daripada 49 keluarga masih berlindung di tiga PPS berbanding 215 orang daripada 60 keluarga pada petang tadi.

Mereka ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan SK Parit Haji Aman, Bagan Serai di daerah Kerian serta Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak.

Selain itu di Johor,jumlah mangsa terkini yang ditempatkan di enam PPS di tiga daerah menurun sedikit kepada 496 orang daripada 133 keluarga berbanding 502 mangsa daripada 134 keluarga petang tadi.

PPS yang dibuka melibatkan Dewan Kampung Kolam Air dan SK Sungai Linau di Kluang; SK Seri Anom, SK Parit Markom dan Kompleks Muafakat Kampung Sungai Pinggan di Pontian, manakala hanya satu PPS dibuka di Batu Pahat iaitu SK Seri Bunut.

Di Melaka pula jumlah mangsa banjir kekal seramai 22 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di PPS SK Tehel, Jasin.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan