AM

Kerajaan Ambil Langkah Perkukuh Sistem Perundangan, Kehakiman Syariah - Mohd Na'im

08/10/2024 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata usaha itu meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

“Pada masa yang sama, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menegaskan tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran.

Malah, ketika ditanya mengenai undang-undang hudud di Malaysia, Anwar telah memberikan maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus dan keutamaan sekarang adalah memastikan keamanan serta keselamatan masyarakat.

Susulan itu, Mohd Nai’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan Anwar berhubung isu tersebut yang tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan).

“Kerajaan Madani menerusi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendukung agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai antara fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.

“Kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan