AM

Penduduk Mahu Sungai Diselenggara Elak Banjir Berulang

08/10/2024 09:54 PM

JASIN, 8 Okt (Bernama) -- Penduduk di Kampung Parit Lambong dan Kampung Tanjong Laboh di sini yang terjejas banjir mahu kerajaan negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera bertindak dengan menyelenggara sungai dan parit yang dipenuhi rumput serta sampah di kawasan itu.

Seorang penduduk, Zunah Y Abdul Jaapar, 37, berkata masalah itu perlu ditangani segera memandangkan kampung tersebut kini semakin kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat terutama apabila melebihi empat jam. 

"Bulan lepas rumah saya dimasuki air, kali ini pun sama dengan air naik hingga paras betis dan lebih teruk apabila berlaku banjir ‘termenung’ yang kita sendiri tak tahu bila akan surut. 

"Perkara ini bukan baharu, jadi penduduk kampung yang terjejas berharap pihak berkaitan terutama JPS lakukan penyelenggaraan secara lebih sistematik, buang rumput serta sampah dalam sungai dan parit yang menyekat aliran," katanya.

  Zunah yang hamil lima bulan merupakan antara 22 mangsa banjir daripada enam keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel sejak semalam selepas kedua-dua kampung tersebut dinaiki air akibat hujan lebat pada Ahad.

Sementara itu, Exco Kanan Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata pihaknya telah mengarahkan JPS negeri melakukan pembersihan sungai di Jasin dengan segera sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dalam mengatasi banjir di daerah itu. 

"Kita sentiasa cakna dengan kejadian sebegini dan kawasan ini memang lokasi banjir, justeru saya sendiri sudah mengarahkan JPS melakukan pemantauan dan pembersihan segera di sungai serta parit yang menjadi punca berlakunya banjir. 

"Bagi mengelak keadaan lebih teruk, saya juga mengarahkan JPS dan Japerun (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri) Bemban membuat pemantauan serta mencari punca dan penyelesaian masalah banjir ini," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di PPS Tehel hari ini. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan