DUNIA

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

08/10/2024 06:28 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini dipengaruhi oleh momentum penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan penanda aras harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas susulan kebimbangan mengenai kelewatan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) selain konflik Timur Tengah yang semakin meruncing.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan bekalan getah asli yang terhad di negara pengeluar berikutan ramalan cuaca hujan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga tersebut berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Selasa, disebabkan kebimbangan mengenai kelewatan pelaksanaan undang-undang utama penyahhutanan Kesatuan Eropah, walaupun pakej rangsangan luar biasa dari pengguna terkemuka, China memberikan sokongan.

"Harga minyak turun pada Selasa, merosot selepas kebimbangan berterusan terhadap konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah yang mendorong kenaikan kukuh sepanjang minggu lalu," katanya.

Sementara itu, kata peniaga berkenaan, dilaporkan Suruhanjaya Eropah akan mencadangkan penangguhan pelaksanaan undang-undang yang melarang import komoditi berkaitan dengan penyahhutanan selama setahun yang dikuatkuasakan pada 2 Oktober lepas, berikutan terdapat desakan dari industri dan kerajaan seluruh dunia.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga getah mutu Malaysia (GMM 20) susut sebanyak 4.0 sen kepada 895.5 sen setiap kilogram manakala lateks pukal naik sebanyak 0.50 sen kepada 747.5 sen setiap kilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 886 sen sekilogram manakala lateks pukal mencapai 749.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan