EKONOMI

Asia Mesti Menangani Perubahan Iklim Dan Permintaan Tenaga Yang Meningkat

08/10/2024 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Negara-negara Asia mesti menangani dua isu penting iaitu perubahan iklim dan permintaan tenaga yang semakin meningkat bagi memenuhi cita-cita ekonomi mereka, kata Naib Presiden Eksekutif Mitsubishi Power Takao Tsukui.

Beliau berkata pentingnya untuk menangani perubahan iklim terutamanya di Asia, yang baru-baru ini dilanda cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan taufan.

"Infrastruktur tenaga kita akan menjadi kunci dalam menangani perubahan iklim. Bagaimanapun, pelancaran tenaga baharu dan dalam bentuk yang lebih bersih mesti bertindak lebih daripada sekadar menggantikan infrastruktur sedia ada.

"Ia juga mesti seiring dengan permintaan tenaga yang semakin meningkat, yang berkembang bersama-sama dengan ekonomi Asia. Teknologi baharu seperti pusat data dan kecerdasan buatan (AI), amat intensif tenaga," kata beliau dalam ucapan pembukaannya di Enlit Asia 2024, di sini hari ini.

Tsukui berkata Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada sumber tenaga tradisional. Tetapi, seperti kebanyakan yang lain, ia mengakui kepentingan mendesak perubahan iklim dan komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dengan 70 peratus tenaganya diperoleh daripada sumber yang boleh diperbaharui.

Beliau berkata cabaran biasa yang dihadapi oleh kebanyakan negara Asia ialah mengimbangkan peralihan tenaga dengan permintaan yang meningkat didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

“Tiada satu negara atau syarikat yang dapat mencapai matlamat tenaga secara sendirian. Namun, ia boleh dicapai dan sebab itu kita mesti bekerjasama merentasi sektor, rantau dan sempadan,” tambahnya.

Mitsubishi Power adalah jenama penyelesaian tenaga daripada Mitsubishi Heavy Industries Ltd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan