EKONOMI

MPOB, M-FICORD Sarawak Anjur Program Pemindahan Teknologi Pada 14 Oktober

09/10/2024 12:06 PM

KUCHING, 9 Okt (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak, akan mengadakan Program Pemindahan Teknologi Kelapa Sawit Sarawak (TOT Sarawak 2024) di sini pada 14 Oktober ini.

Dalam kenyataan pada Rabu, MPOB menjelaskan program itu bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi inovatif dalam kalangan peserta industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan dan global.

“TOT Sarawak 2024, yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyasarkan penglibatan peserta industri dan usahawan di Sarawak bertujuan menggalakkan pengkomersialan teknologi inovatif MPOB untuk manfaat masyarakat tempatan,” jelasnya.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata program itu menawarkan peluang eksklusif kepada usahawan dan peserta industri di Sarawak untuk terlibat secara langsung dengan penyelidik MPOB berkaitan dengan ciptaan inovatif mereka.

“Ini merupakan peluang unik untuk mempercepat pengkomersilan teknologi kelapa sawit, memacu pembangunan mampan dan kemajuan industri kelapa sawit di Sarawak,” katanya.

Program serupa yang diadakan di Selangor pada Julai lepas telah berjaya menarik lebih 500 peserta daripada pelbagai sektor termasuk usahawan PMKS.

Enam teknologi baharu telah diperkenalkan semasa acara itu, menjadikan jumlah keseluruhan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB sebanyak 720.

Daripada jumlah itu, 238 teknologi telah dikomersialkan oleh peserta industri dan rakan strategik, termasuk usahawan yang kini berinovasi dalam pelbagai sektor -- meliputi bahan penanaman kelapa sawit hingga produk hiliran berasaskan sawit.

Ahmad Parveez berkata penyelidikan MPOB tertumpu kepada peningkatan perolehan industri, menggalakkan pembangunan mampan dan menambah nilai.

“Strategi ini didorong oleh maklum balas daripada industri dan dianalisis dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) tahunan,” katanya.

TOT Sarawak 2024 dijangka mengetengahkan teknologi sedia untuk dikomersialkan, menawarkan peluang penting kepada usahawan dan peserta industri tempatan untuk menerokai usaha niaga baharu sejajar dengan keperluan industri kelapa sawit yang dinamik di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan