AM

Kerjasama Swasta Mampu Pacu Pembangunan Luar Bandar - Ahmad Zahid

09/10/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan sektor swasta mampu memainkan peranan kritikal dalam memacu pembangunan luar bandar, khususnya melalui kepakaran teknologi, modal, dan akses pasaran yang lebih luas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kolaborasi ini bukan sahaja mampu menggalakkan inovasi, tetapi juga mempercepatkan proses pembangunan serta mencapai hasil yang lebih berkesan.

“KKDW telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat swasta dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi. Sebagai contoh, kerjasama RISDA dengan Alliance Concord Green Sdn Bhd (ACG) dalam projek biogas mampu menjana tenaga boleh diperbaharui yang memberi manfaat kepada ribuan isi rumah luar bandar, sekali gus membuka peluang ekonomi bagi usahawan tempatan.

“Kolaborasi pintar antara FELCRA Berhad dan Cenergi SEA Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar dalam Tenaga Boleh Diperbaharui, juga menunjukkan kejayaan ini. Oleh itu, saya menyeru semua agensi di bawah KKDW untuk terus proaktif dalam menjalin hubungan dengan sektor swasta,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Oktober kementerian itu, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata antara bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan dengan sektor swasta termasuklah bootcamp literasi digital intensif melalui KEMAS, serta kerjasama dengan syarikat pelancongan untuk mempromosikan pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraf tangan, dan ekopelancongan.

Selain itu, homestay atau rumah-rumah kampung sedia ada juga boleh dipasarkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan perkampungan desa.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyarankan agensi di bawah KKDW untuk melaksanakan Rangka Kerja Kolaboratif yang menekankan perkongsian sumber, pengetahuan, dan kepakaran dalam menghadapi cabaran seperti kekangan sumber dan kemajuan teknologi.

Beliau menegaskan setiap agensi KKDW, seperti FELCRA, MARA, KEMAS, JAKOA, dan RISDA, memainkan peranan penting dan saling melengkapi. Untuk mencapai visi KKDW, kerjasama strategik antara kementerian, agensi, dan lembaga kemajuan wilayah amat diperlukan.

“Oleh itu, bagi memastikan kejayaan visi keseluruhan KKDW, kita tidak boleh bergerak secara silo atau terasing. Kerjasama strategik yang lebih erat antara kementerian, agensi dan lembaga kemajuan wilayah amat diperlukan,” katanya.

Beliau turut menyeru agensi di bawah KKDW agar bergerak ke arah kemandirian dan menjana pendapatan sendiri, terutama dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.

Pada perhimpunan itu, 20 pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar menerima watikah dan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, selain penyampaian Anugerah Pekerja MADANI kepada sembilan kakitangan yang terpilih sebagai penghargaan atas sumbangan dan pencapaian mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan