AM

Belanjawan 2025: Kelantan Harap RM1.3 Bilion Untuk Pertanian

10/10/2024 01:24 PM

KOTA BHARU, 10 Okt (Bernama) -- Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM1.3 bilion untuk mengatasi isu ketidakcukupan bekalan air bagi sektor pertanian dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah itu diperlukan bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah bekalan air, tetapi juga supaya Sungai Kelantan dapat digunakan di kawasan ladang dan sawah padi yang berdekatan.

"Mungkin satu sistem yang sistematik boleh dibangunkan di Sungai Kelantan untuk tujuan ini (masalah bekalan air). Walaupun ia merentangi sungai, namun ia tidak bercanggah dengan enakmen negeri dan kanun tanah negara," katanya ketika ditemui oleh Bernama baru-baru ini.

Pengerusi Pesawah-Pesawah Kelantan Zuha Ismail, 51, berkata isu ketidakcukupan bekalan air, terutamanya kepada sektor pertanian, diharap dapat diselesaikan memandangkan ia telah membebani sekitar 7,100 pesawah selama lebih 20 tahun.

Katanya isu berkenaan bukan sahaja menjejaskan pengeluaran hasil tanaman, malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa membuat pinjaman untuk kelangsungan hidup serta pembayaran balik hutang jentera yang telah dibeli.

"Rata-rata pesawah di kawasan Bachok bergantung kepada pam kemubu, sekiranya pam tersebut bermasalah, ia akan memberi kesan kepada pesawah.

"Malah, pada Disember tahun lalu, pam kemubu itu mengalami masalah kebocoran yang menjejaskan tanaman sehingga mencecah 90 peratus," katanya.

Pengerusi Pekebun Kecil Tanah Gambut Kampung Kual Asli di Bachok Mat Deris, 64, berkata majoriti pekebun dan pesawah di kawasannya menggunakan sumber sungai berdekatan serta hujan untuk hasil tanaman. Namun, apabila tiba musim kemarau sekitar bulan Februari hingga Mei, ia akan memberi masalah kepada mereka kerana bekalan air kurang mencukupi.

"Isu bekalan air ini akan menjejaskan golongan seperti kami, terutamanya ketika menjelang musim kemarau, sehingga menyebabkan kerugian hampir jutaan ringgit terhadap kira-kira 100 pesawah di kawasan ini.

"Saya harap kerajaan dapat memberi tumpuan serta peruntukan yang sewajarnya untuk meningkatkan bekalan air, khususnya bagi sektor pertanian di Kelantan, sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan