AM

Kepengerusian ASEAN 2025: Agensi Penerangan, Penyiaran Berperanan Tingkat Pemahaman Rakyat - Fahmi

10/10/2024 03:40 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu agensi penerangan dan penyiaran kerajaan iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat mengenai signifikan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Vientiane, Laos bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang bermula 8 Okt lepas hingga esok.

"Malaysia akan secara rasminya menerima instrumen bagi menjadi pengerusi ASEAN tahun hadapan.

“Saya pohon RTM, JaPEN, Bernama meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan rakyat bahawa ini adalah satu perkara bukan hanya harus dibanggakan tapi memberikan peluang yang besar kepada rantau ASEAN dengan kepengerusian ini untuk kita (Malaysia) meneraju dan membantu rantau ini dalam beberapa perkara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut hadir Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan membawa isu keselamatan dalam talian termasuk masalah penipuan dalam talian (scam) untuk perbincangan bersama rakan-rakan ASEAN.  

"Petang ini saya akan bertemu dengan Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi negara-negara ASEAN membincangkan tentang isu keselamatan dalam talian, masalah scam," katanya.

Fahmi berkata pertemuan itu adalah bagi memberikan taklimat mengenai usaha terkini kerajaan termasuk pelaksanaan kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan. 

Selain itu, beliau berkata beberapa platform ASEAN boleh dimanfaatkan Kementerian Komunikasi antaranya persidangan Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) di Brunei tahun hadapan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk berita palsu dalam talian.

Beliau berkata beberapa negara telah mengambil tindakan terhadap perkara itu, antaranya Perancis yang menahan pengasas aplikasi Telegram Pavel Durov dan Brazil mengharamkan platform media sosial X, namun Malaysia mengambil sikap neutral.

Jelasnya Malaysia juga merupakan pasaran besar dan berada di kedudukan penting memandangkan banyak pusat pemprosesan data dibangunkan di negara ini.

"Jadi kita perlu ambil peluang dengan kepengerusian ASEAN dan dengan beberapa ikhtiar kita termasuk pelesenan bagi syarikat media sosial bermula 1 Januari 2025 untuk membantu negara ASEAN melihat landskap yang sangat pantas berubah," katanya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN buat kali kelima pada tahun hadapan selepas memegang jawatan pengerusi sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan