AM

Jangkitan Kuman Dalam Darah Punca Kematian Banduan - Jabatan Penjara

10/10/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan kematian seorang banduan selepas menjalani hukuman sebatan di Penjara Pokok Sena, Kedah, Isnin lepas di sebabkan jangkitan kuman dalam darah.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan banduan berkenaan mengadu tidak sihat pada Jumaat lepas (4 Okt) iaitu sembilan hari setelah hukuman sebat dijalankan pada 25 Sept lepas.

“Susulan aduan sakit oleh banduan, pihak penjara terus melakukan pemeriksaan lanjut melalui rawatan rapi oleh pegawai perubatan.

“Banduan telah dibawa Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Okt untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia dan laporan bedah siasat awal punca kematian ialah jangkitan kuman dalam darah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara memaklumkan hukuman yang dilaksanakan pada 25 Sept lepas itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan banduan juga telah disahkan sihat dan cergas selepas pemeriksaan ketat oleh Pegawai Perubatan Penjara.

“Selepas menjalani hukuman, banduan tersebut juga telah dirawat dengan rapi termasuk rawatan luka (dressing) setiap hari dan dipantau kesihatan dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan penjara,” katanya.

Menurut Jabatan Penjara, pihaknya juga telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman adalah mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Sehingga kini tiada pelanggaran SOP dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Jabatan Penjara turut mengingatkan orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan