SUKAN

Doping: 13 Sampel Atlet SUKMA Perlu Analisis Lanjut

10/10/2024 09:59 PM

Oleh Vikneswaran Raman

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos lepas menyaksikan lebih 300 atlet telah diuji dan setakat ini kesemua mereka disahkan negatif daripada penggunaan bahan terlarang.

Walau bagaimanapun, 13 sampel sedang menjalani analisis lanjut.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Abidin berkata makmal di Doha, Qatar, kini sedang menjalankan analisis Isotope Ratio Mass Spectrometry (IRMS) bagi mengenal pasti sama ada terdapat penggunaan steroid sintetik dalam kalangan atlet terlibat.

Beliau berkata kemungkinan besar keputusan akan kekal negatif namun ada juga kemungkinan ia boleh berubah menjadi positif terutamanya dalam kes melibatkan bahan seperti steroid.

 “Ujian awal kemungkinan keputusan negatif tetapi jika terdapat sebarang ketidaknormalan dalam nisbah atau tahap hormon testosteron atlet, analisis lanjut melalui Pasport Biologi akan diminta dijalankan," kata Azura dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama hari ini.

Azura berkata pihak ADAMAS berharap semua keputusan akan kekal negatif sejajar dengan matlamat mereka untuk mencapai sifar kes doping di SUKMA kali ini di samping memberi penekanan terhadap pendidikan anti-doping kepada atlet.

"Sebagai langkah pencegahan, sukan angkat berat yang dianggap berisiko tinggi telah menjalani ujian prapertandingan bagi memastikan atlet mematuhi peraturan sebelum pertandingan bermula," katanya.

Bagi  Para SUKMA Sarawak yang berlangsung dari 20 hingga 28 Sept lepas, Azura berkata keputusan ujian doping dijangka akan diterima secara berperingkat bermula minggu hadapan.

SUKMA 2024 juga menyaksikan peningkatan kesedaran dalam kalangan atlet muda mengenai isu doping dengan lebih 95 peratus daripada mereka telah berjaya mengikuti dan lulus modul Anti-Doping eLearning Platform (ADEL) daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan