AM

Malaysia Minta Agar Kanada Berikan Kemudahan Pengecualian Visa

10/10/2024 09:42 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah meminta agar Kanada dapat memberikan kemudahan pengecualian visa secara timbal balik.

Permintaan itu disampaikan kepada rakan sejawatannya dari Kanada Justin Trudeau semasa mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Dalam isu lain, Perdana Menteri berkata Malaysia mengalu-alukan penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) BlackBerry di Cyberjaya, yang akan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam aspek keselamatan siber.

CCoE Malaysia yang ditubuhkan pada 26 Mac lepas berpotensi menjadi destinasi antarabangsa bagi menangani ancaman siber yang muncul.

Anwar turut berkata Malaysia berharap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua negara dapat dirumuskan seawal mungkin.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula secara rasmi semalam akan berlangsung sehingga esok.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan menjadi Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan