JOHOR BAHRU, 10 Okt (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah pertukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad dibuat atas pertimbangan dan kehendak rakyat di negeri itu untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Tunku Mahkota Ismail bertitah ia juga memberi kesan ekonomi yang positif seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang akan memberi manfaat sekali gus membawa keuntungan kepada negeri dan rakyat.
“Dengan izin dan restu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail hari ini.
Baginda bertitah jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi serta hendak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.
Pada 7 Okt lepas, Tunku Mahkota Ismail bertitah cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan tahun depan.
Pada 1 Jan 2014, pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Sultan lbrahim.
Negeri lain yang melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Terengganu, Kelantan dan Kedah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial