EKONOMI

Kekalkan Program Pembiayaan Berfokuskan Pekerja Gig Dalam Belanjawan 2025 - Foodpanda

11/10/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Foodpanda Malaysia berharap kerajaan akan mengekalkan pembiayaan berfokus kepada pekerja-pekerja gig dalam Belanjawan 2025 seperti yang diperuntukkan dalam belanjawan sebelum ini bagi membantu mereka berkembang maju.

Platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian itu juga mencadangkan agar program seperti Telco Rahmah dan kursus peningkatan kemahiran melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diteruskan.

Pengarah Operasinya Shubham Saran berkata Belanjawan 2025 merupakan peluang untuk membentuk masa depan yang makmur bagi negara berkembang maju dalam landskap digital yang kini semakin pesat membangun.

"Dasar yang mesra perniagaan akan memacu inovasi dan pertumbuhan seterusnya dalam ekonomi gig," katanya dalam satu kenyataan.

Shubham juga menjangkakan usaha berterusan untuk membangunkan ekonomi halal dalam platform penghantaran seperti foodpanda akan memudahkan pengembangan industri halal dan status Malaysia sebagai hab halal global.

Beliau berkata platform bekal oleh foodpanda, meletakkan foodpanda sebagai perintis dalam perkhidmatan penghantaran makanan halal dan juga membantu meningkatkan kemahiran rakan kongsi penghantaran yang dilatih bagi memastikan makanan dan produk yang disahkan halal dihantar dengan tahap penjagaan yang paling tinggi.

"Kemahiran yang boleh dipindah milik ini membolehkan rakan kongsi penghantaran kami mengambil bahagian dalam sektor yang berkembang pesat ini dan juga jika mereka ingin berkembang melangkaui ekonomi gig pada masa depan," katanya.

Bagi mengiktiraf dan menangani keperluan ekonomi gig, kerajaan juga telah memperkenalkan inisiatif seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menawarkan perlindungan insurans dan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja gig.

Kerajaan juga mewujudkan program i-Saraan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan pekerja gig menyimpan untuk persaraan, tanpa mengira status pekerjaan mereka.

Di samping itu, program peningkatan kemahiran seperti MYFutureJobs dan Program Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membantu pekerja bebas meningkatkan kemahiran untuk peluang lebih luas dalam ekonomi digital.

Pelbagai kursus peningkatan kemahiran oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan juga membantu pekerja gig menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang dinamik melalui TVET.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan