EKONOMI

Pemain Industri Gas Mahu Perhatian Sama Rata Dalam Belanjawan 2025

11/10/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) menggesa kerajaan mengutamakan industri gas menerusi Belanjawan 2025 bagi memastikan berlakunya peralihan mampan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.

 MGA menekankan peranan penting industri gas seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Presidennya Abdul Aziz Othman berkata sesuatu yang munasabah untuk industri gas diberi insentif sama seperti yang diberikan kepada industri tenaga boleh baharu memandangkan terdapat jangkaan yang tinggi terhadap peranan dan sumbangan gas.

“Ini termasuk insentif cukai, geran dan pembiayaan yang menggalakkan pelaburan selain pembangunan yang berterusan serta dipertingkatkan dalam industri gas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Abdul Aziz berkata pembiayaan adalah elemen kritikal bagi memastikan sasaran NETR tercapai.

Beliau berkata terdapat syarat dan had yang lebih ketat terhadap pengagihan dana untuk projek berkaitan minyak dan gas manakala berdasarkan aliran semasa dalam pembiayaan projek, situasi akan menjadi semakin sukar bagi industri tersebut.

Sehubungan itu, MGA menggesa kerajaan segera campur tangan untuk membalikkan corak yang membimbangkan ini dengan menggalakkan institusi kewangan mengiktiraf kepentingan strategik projek gas selain memberikan sokongan yang mencukupi kepada industri gas untuk mencapai sasaran NETR.

Hal ini termasuk pengagihan dana yang mencukupi untuk menyokong pelaburan berkaitan gas dan layanan yang adil terhadap pelaburan berkaitan gas.

Persatuan itu juga mendesak kerajaan dan institusi kewangan supaya mengiktiraf kepentingan strategik projek gas selain memberikan sokongan yang diperlukan kepada industri terlibat.

"Mewakili lebih 150 ahli, kami komited untuk berhubung dengan institusi kewangan bagi menjelaskan keperluan selain memastikan ahli kami bersama-sama dengan pemain industri lain untuk mempunyai akses kepada dana yang diperuntukkan seperti dana permulaan RM2 bilion, sebagai kemudahan dan projek yang berkaitan dengan NETR.

"Bagi mencapai sasaran tinggi NETR, sesuatu yang penting untuk industri gas menerima tahap sokongan dan insentif sama seperti sektor tenaga boleh baharu termasuk insentif cukai, geran dan pembiayaan untuk menggalakkan pelaburan dan pembangunan yang berterusan," kata persatuan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan