EKONOMI

Malaysia Boleh Tingkatkan FDI Menerusi Inisiatif Belanjawan 2025 - Penganalisis

11/10/2024 03:13 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, Oct 11 (Bernama) -- Malaysia boleh meningkatkan pelaburan langsung asingnya (FDI) melalui Belanjawan 2025 dengan menawarkan insentif cukai yang berani, mempermudahkan peraturan dan menyokong sektor bersasar, kata penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pemotongan cukai korporat untuk industri utama seperti teknologi, tenaga boleh baharu, pembuatan canggih dan meluaskan kredit penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan menarik pelaburan jangka panjang.

Beliau berkata, mendigitalkan proses kerajaan dan mempermudah pematuhan akan mengurangkan halangan operasi. manakala pelepasan cukai, kredit karbon dan insentif tenaga bersih boleh meningkatkan projek hijau.

"Geran latihan dan perkongsian pendidikan-perniagaan boleh membina tenaga kerja mahir, manakala zon ekonomi khas yang diperluas dengan infrastruktur yang dipertingkat serta pengecualian cukai akan menyokong perniagaan dipacu eksport," katanya kepada Bernama.

Innes juga berkata ekonomi digital akan berkembang maju dengan faedah cukai kecerdasan buatan (AI), automasi dan infrastruktur digital manakala mengurangkan cukai ke atas pendapatan dan dividen yang dihantar pulang akan meningkatkan tarikan pelaburan jangka panjang.

"Perlindungan harta intelek yang lebih kukuh dan perjanjian pelaburan dua hala baharu akan memberi jaminan lebih kukuh, manakala bon infrastruktur dan perkongsian awam-swasta akan menarik penyertaan asing dalam projek berskala besar.

“Langkah-langkah ini akan mewujudkan persekitaran pelaburan yang menarik dan berpandangan ke hadapan, selaras dengan trend global,” katanya.

Pada Ogos 2024, jumlah perdagangan Malaysia kekal pada laluan pertumbuhan dua angka, dirangsang oleh ekonomi global yang berkembang maju.

Manakala jumlah perdagangan pada Ogos tahun ini meningkat kepada RM252.7 bilion, melonjak 18.6 peratus daripada RM213 bilion pada Ogos 2023, didorong terutamanya oleh pertumbuhan 26.2 peratus import yang mencecah RM123.5 bilion, dan eksport sebanyak 12.1 peratus yang bernilai RM129.2 bilion.

Walaupun sektor sensitif cukai mungkin akan sedikit terkesan, Innes berkata asas ekonomi Malaysia yang kukuh, lokasi strategik dan hakikat bahawa pesaing serantau akan melaksanakan cukai minimum global (GMT) yang sama seharusnya memastikan Malaysia kekal berada dalam radar pelabur.

"Pendek kata, GMT dijangka tidak mengganggu status Malaysia sebagai destinasi utama FDI," katanya.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan GMT berdasarkan Peraturan Anti-Hakisan Global (GloBE) pada 2025.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik yang menjimatkan kos untuk menarik FDI baharu dan ketersediaan kumpulan bakat serta dasar kerajaan yang properniagaan adalah antara tarikan utama.

"Alangkah baik sekiranya terdapat insentif untuk syarikat asing memindahkan teknologi mereka kepada pemain tempatan. Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan kerjasama dengan universiti tempatan dalam bidang berkaitan penyelidikan dan pembangunan serta dapat mengkomersialkan idea itu.

"Selain itu, menyediakan ruang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kita untuk disepadukan ke dalam rantaian bekalan global akan mempercepat pembangunan sektor tersebut. Jika syarikat asing melakukan ini, mereka boleh menerima beberapa insentif cukai," katanya.

Mengenai pelaksanaan GMT tahun depan, Mohd Afzanizam berkata sekiranya langkah ini dipatuhi ia akan meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara lain yang turut melaksanakannya. 

"Saya rasa ia adalah langkah yang tepat kerana sesebuah negara perlu bersaing melangkaui cukai untuk menarik pelabur asing. Dengan cara itu, ia akan memudahkan usaha menjalankan perniagaan dan kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan birokrasi bagi menarik pelaburan.

"Sesetengah kajian menunjukkan cukai bukan satu-satunya menjadi pertimbangan apabila pelabur asing mencari tempat untuk melabur. Jadi, saya fikir ia satu langkah yang baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan