Daripada Rosmalis Anuar
VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia tegas dengan pendirian untuk tetap memberi penekanan terhadap keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan menuntut keadilan buat mereka di pentas antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menggalas tugas itu ketika bertemu pemimpin dunia yang terlibat dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini agar mesej tersebut dapat disampaikan dengan jelas.
"Kita harus tegas dengan pendirian kita, mustahil (mereka) tidak faham atau tidak dengar, anak-anak muda dan rakyat bangkit, berjuta-juta di kota-kota menyatakan bahawa keganasan telah berlaku sejak 1947 dan 1948.
"Kita harus terus menggalas tugas ini, suarakan aspirasi hak rakyat Palestin secara adil," katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir sidang kemuncak itu di sini.
Beliau berkata Malaysia turut mengutuk serangan Israel ke atas Gaza yang kini merebak ke Lubnan ketika bertemu semua pemimpin termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken.
Perdana Menteri berkata Malaysia menegaskan bahawa tidak harus ada pengecualian terhadap mana-mana pelanggaran hukum antarabangsa ke atas mana-mana negara seperti berlaku sekarang yang dibuat sewenang-wenangnya.
"Ini termasuk tindakan Israel mengutuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (Antonio Guterres) dan pengeboman yang menyebabkan lebih 200 kakitangan PBB terkorban selain 40,000 penduduk Gaza dan kini di Lubnan," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di ibu negara Laos bermula pada Rabu dan berakhir hari ini.
Malaysia secara simbolik menerima kepengerusian ASEAN 2025 daripada Laos pada penghujung sidang kemuncak itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial