AM

Malaysia Berminat Menjadi Pengeluar Utama WPC

11/10/2024 10:02 PM

Oleh Mohd Hafiz Abbas

BERA, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadi satu daripada pengeluar utama bahan komposit plastik dan kayu (WPC) yang digunakan secara global sebagai produk utama binaan kerana sifatnya yang tahan lasak dan mesra alam.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Larry Sng Wei Shien berkata negara memiliki sumber dan kepakaran mencukupi untuk menghasilkan produk WPC berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran.    

"Permintaan terhadap bahan WPC semakin berkembang dengan dianggarkan nilai pasaran global pada tahun lepas berjumlah USD7.5 bilion (RM32.13 bilion) dengan segmen bangunan dan produk pembinaan merupakan pengguna terbesar bahan ini.  

"Justeru, kita sudah mula mengeluarkan bahan WPC yang diperbuat daripada sisa kayu dan plastik yang boleh dikitar semula ini dan saya percaya negara kita boleh mengeksportnya secara lebih meluas kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Rumah FAST Rakyat Jenis Banjir daripada WPC di Kampung Mengkarak di sini hari ini. 

Sng berkata kelebihan bahan WPC berbanding kayu ialah sifatnya yang mesra alam, harga mampu milik, dapat digunakan dalam sistem binaan berindustri (IBS) dan prafabrikasi serta penggunaan teknologi besi yang diperkuatkan yang memberikan kekuatan tambahan kepada struktur binaan seperti rumah.   

Ini kerana, WPC merupakan bahan komposit yang diperbuat daripada serbuk kayu/bahan biojisim lain serta termoplastik seperti polietilena, polipropilena dan polivinil klorida.

"Selain digunakan untuk membuat dek jeti, pagar landskap dan perabot di luar rumah, WPC mempunyai potensi tinggi dalam pembinaan rumah khususnya di lokasi kerap berlaku banjir kerana ia kalis air serta tidak dimakan anai-anai.

“Pastinya ini memberi penjimatan jutaan ringgit terutama dari segi penyelenggaraan, harga pembinaan rumah pula lebih berpatutan dan tempoh masa untuk menyiapkan sebuah rumah bersaiz 800 kaki persegi hanya 21 hari," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pembangunan Perniagaan Perceptive Profile Sdn Bhd Andy Lai berkata pihaknya menyasarkan untuk menembusi pasaran tempatan serta luar dengan memberi lebih fokus kepada pembinaan rumah banjir di negara ini.

"Kita sudah mengeksport bahan WPC ke negara seperti Thailand, Australia, Indonesia dan terbaharu, Dubai menunjukkan minat untuk membelinya daripada kami.

"Dalam negara pula, kita memberi lebih tumpuan membantu negeri yang sering dilanda banjir antaranya Sabah, Sarawak dan Pahang," katanya.

Pada majlis itu, Sng telah menyerahkan kunci rumah FAST Rakyat yang pertama dibina menggunakan WPC di negara ini kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Bera untuk dijadikan pusat komuniti di kawasan itu.

Pembinaan rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur itu dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti MTIB, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Perceptive Profile Sdn Bhd serta Universiti Putra Malaysia (UPM).   

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan