AM

Kampung Angkat Bernama Bantu Sebar Luas Usaha Rakyat Dapat Berita, Fakta Benar

12/10/2024 04:32 PM

BANTING, 12 Okt (Bernama) -- Pemilihan Kampung Batu Laut di Tanjung Sepat, Sepang sebagai Kampung Angkat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), diharap akan dapat membantu kerajaan menyebarluaskan agenda untuk rakyat mendapatkan berita dan fakta yang benar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu berkata menerusi program itu, komuniti kampung akan menerima lebih banyak pendedahan berhubung fungsi dan peranan produk Bernama terutama platform MyCheck Malaysia.

“Sebab kita kini bersaing dengan perang maklumat yang bercampur aduk. Kadangkala bendanya mudah tetapi menjadi sukar kerana maklumat yang tidak tepat itu berlegar dalam masyarakat.

“Jadi menerusi Kampung Angkat Bernama ini, masyarakat dapat memanfaatkan segala kekuatan (menerusi pelbagai produk Bernama dan MyCheck Malaysia) untuk memastikan maklumat tepat, dan baru disebarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Dewan Kebudayaan Kampung Batu Laut di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.

Menyentuh mengenai platform bagi mendapatkan berita sahih, Aiman Athirah berkata MyCheck Malaysia yang ditubuhkan pada Mac 2020 oleh Bernama, bertujuan untuk membanteras maklumat palsu dalam konteks Malaysia terutamanya berkaitan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian wajar dijadikan sumber utama. 

Aiman Athirah berkata walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah paparan laman sesawang MyCheck Malaysia iaitu 29,198 pengunjung pada September lepas berbanding 12,680 pada Ogos, ia masih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah maklumat palsu yang berada di media sosial.

“Ada peningkatan kesedaran orang ramai dalam semakan fakta ini berdasarkan jumlah itu. Jadi selepas ini saya harap kita ramai-ramai semak fakta di MyCheck Malaysia. Rakan-rakan Bernama kita telah wujudkan platform itu, rugi kalau kita tidak gunakan.

“Jangan bila kita dapat sesuatu berita itu, jangan pergi hantar kat orang lain untuk tanya kesahihannya. Semak dahulu di www.mycheck.my sebelum sebar,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut berterima kasih kepada Bernama dan Kementerian Komunikasi atas pemilihan Kampung Batu Laut sebagai Kampung Angkat Bernama.

“Menerusi inisiatif ini, pelbagai program khususnya dalam bidang pendidikan dirancang untuk dilaksanakan bagi membangunkan nukleus masyarakat yang paling kecil iaitu di peringkat kampung.

“Ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang ada enam teras utama antaranya melahirkan manusia yang bersifat manusiawi yang tidak hanya untuk kepentingan diri, tetapi bagi komuniti dan negara keseluruhannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan