JENAYAH & MAHKAMAH

ESSCOM Tahan Enam Individu, Rampas Lebih RM1.4 Juta Di Tawau

12/10/2024 06:10 PM

TAWAU, 12 Okt (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan enam individu termasuk seorang lelaki warga asing serta merampas wang tunai lebih RM1.4 juta dalam operasi jenayah rentas sempadan (JRS) di sekitar daerah ini semalam.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata operasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu menahan empat wanita serta dua lelaki berusia antara 40 hingga 47 tahun di kawasan premis perniagaan serta rumah.

“Semua individu terbabit ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"LHDN kini menjalankan siasatan lanjut terhadap individu terlibat.Turut dirampas dalam operasi itu beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata operasi menyasasarkan sembilan premis dan bertujuan menjamin keselamatan serta memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain untuk membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh.

"ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah dalam ESS Zone bagi mengekang apa jua elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai timur Sabah," katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang insiden keselamatan di ESS Zone dengan menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau aplikasi Whatsapp 011-63311072.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan