AM

Kapal Latihan China JinggangShan Pernah Terlibat Dalam Misi Pencarian MH370 - Exco

12/10/2024 06:49 PM

GEORGE TOWN, 12 Okt (Bernama) -- Satu daripada dua kapal latihan dari China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang pada Sabtu lepas pernah terlibat dalam misi pencarian pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH370 pada 2014. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata kapal latihan JinggangShan 999 telah bertolak dari pelabuhan Zhanjiang, China pada 9 Mac 2014 ke kawasan pencarian pesawat yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing itu.

“Sepanjang 62 hari operasi pencarian, kapal JinggangShan 999 telah menjelajah kawasan yang luas termasuk Teluk Thailand, Sumatera dan kawasan barat daya serta barat laut Australia dengan jarak pelayaran melebihi 31,000 kilometer (km),” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau menjelaskan hubungan Malaysia dan China adalah baik dan pemimpin utama telah melawat antara satu sama lain, justeru lawatan silaturahim kapal pelatih bersama pelajar-pelajar Naval University of China harus dilihat dari sudut positif.

Mengenai kunjungan pelatih dari Naval University of China ke sebuah sekolah persendirian di sini, Wong berkata sekolah itu mempunyai lebih 1,900 pelajar dari Indonesia, Thailand, China dan negara lain sepertimana sekolah swasta lain.

Beliau berkata lebih 30 pelajar dari China di sekolah itu telah mengibarkan bendera negara mereka semasa sambutan tersebut manakala pelajar-pelajar tempatan mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Negeri Pulau Pinang.

“Gambar yang disebar luas menerusi media sosial hanya menunjukkan pelajar berasal dari China mengibarkan bendera China dan sebenarnya terdapat gambar-gambar lain pelajar tempatan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan di Malaysia mengikut saluran rasmi dan protokol.

Wong berkata mengambil contoh pada 25 Feb 2019, lebih 20 anggota Marin Tentera Amerika Syarikat iaitu USS Ashland (LSD 48) dan 31st Marine Expeditionary Unit (MEU) telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam di Kota Kinabalu, Sabah serta berinteraksi dengan pelajar sekolah itu menerusi beberapa aktiviti.

Pada 5 Okt lepas, Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 orang dari China ke negeri itu dengan Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, untuk kunjungan silaturahim.

Kunjungan itu diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang dan dua kapal pelatih berkenaan berlabuh selama tiga hari serta telah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan