AM

Lebih Banyak Bakat Digital Bebas Diharap Dilahirkan Menerusi Program MOHE-MDEC GOT

12/10/2024 09:40 PM

MELAKA, 12 Okt (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berharap lebih banyak bakat digital bebas atau ‘freelancer’ dalam kalangan siswazah institusi pengajian tinggi dilahirkan menerusi program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent (GOT) pada masa hadapan.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata setakat ini lebih 5,500 peserta dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah dilatih dengan kemahiran untuk menjadi 'freelancer' digital mengikut model ekonomi perkongsian atau gig.

"MDEC berharap peruntukan bagi pelaksanaan MOHE-MDEC GOT dapat dilaksanakan pada tahun hadapan menerusi peruntukan di bawah kementerian itu khususnya menerusi Belanjawan 2025.

"Setakat ini, sambutan yang diterima bagi program berkenaan amat baik dan di Melaka sahaja, sebanyak 549 peserta telah dilatih melibatkan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah dan UiTM Bandaraya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital @ Melaka 2024 di sini hari ini.

Perasmian itu dilakukan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Syed Ibrahim berkata menerusi program MOHE-MDEC GOT, peserta ditawarkan latihan intensif selama tiga bulan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi freelancer digital yang kompetitif. 

Beliau berkata program berkenaan diberi keutamaan kepada siswazah yang menunggu tawaran kerja dan menerusi kemahiran yang diperoleh, mereka berupaya menjana pendapatan lumayan.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata menerusi pelaksanaan inisiatif MyDigitalMaker yang bermula sejak 2016, lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam aktiviti pembuatan digital antaranya Kempen Hour of Code yang merupakaan pertandingan berasaskan pembuatan digital manakala lebih 150,000 pelajar telah mengambil bahagian dalam Karnival MyDigitalMaker. 

"Program ini bukan sahaja memupuk minat pelajar terhadap teknologi malah mempersiapkan golongan berkenaan dengan kemahiran yang diperlukan seiring era pendigitalan masa kini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata kira-kira 2,000 pengunjung dijangka menghadiri Jelajah Saya Digital @ Melaka 2024 yang berlangsung di The Shore Shopping di sini selama dua hari bermula hari ini.

Pada jelajah berkenaan, pengunjung berpeluang menyaksikan perkongsian menarik oleh pempengaruh terkenal, Rhys William James Woodfield atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh Cari Makan yang berkongsi pengalaman dan tips penciptaan kandungan digital. 

Selain itu, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan mempelajari panduan praktikal mengenai teknik gerak laju pemasaran digital dan penggunaan aplikasi TikTok untuk memperluas capaian serta meningkatkan hasil jualan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan