BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
CHIBA, (Tokyo-Jepun) 12 Okt (Bernama) -- Pengenalan inisiatif 'Local To Global Retails Produk Usahawan Tempatan' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertujuan memperkasakan produk Malaysia di pasaran antarabangsa.
Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar berkata inisiatif itu sekali gus membantu produk tempatan menembusi rangkaian peruncitan pasar raya dan pasar raya besar yang mempunyai cawangan di luar negara.
Selain itu, pendekatan berkenaan juga digunakan dalam 'Program Malaysia Fair–Taste of Malaysia' yang diadakan di enam cawangan AEON Co (M) Bhd di sekitar Tokyo, Jepun.
“Pendekatan ini di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) iaitu kita gunakan platform peruncitan antarabangsa di bawah kawalan kementerian dan manfaatkan ia untuk membawa produk tempatan yang telah berada dalam pasaran Pasar raya AEON Co (M) Bhd.
“Berdasarkan pengalaman daripada berbagai-bagai pameran perdagangan untuk membawa produk ke pasaran luar negara yang pernah dibuat pelbagai kementerian, dari segi pemasaran itu sukar. Dengan bantuan penjual, khususnya AEON maka kita dapat kenal pasti jenis produk serta membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyediakan produk sesuai dengan keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan Program Pameran Malaysia – Citarasa Malaysia di AEON Makuhari New City di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan AEON Co (M) Bhd Naoya Okada, Pengerusi AEON Co (M) Bhd Datuk Iskandar Sarudin, Pengarah dan Pegawai Pengurusan Eksekutif AEON Retail Japan Yoshiro Hamaguchi serta Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun Anwar Udzir.
Mohd Sayuthi berkata melalui inisiatif itu pasaran produk PMKS lebih terjamin sekali gus diharap dapat meningkatkan hasil jualan.
“Selain produk, kita juga nak melihat potensi pasaran bagi produk baharu, tadi pun kita tengok mereka ini lebih gemarkan buah-buahan, jadi kita akan bersama dengan kementerian (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) untuk bincang apa jenis produk buah-buahan yang boleh dibawa bersama melalui platform Retail To Global ini.
“Untuk tahun ini sebanyak empat negara terlibat dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan iaitu Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Thailand dan China … di Thailand nanti kita akan bekerjasama dengan Lotus,” katanya.
Beliau berkata program Malaysia Fair–Taste of Malaysia turut mengetengahkan elemen halal bagi menggalakkan lebih ramai usahawan PMKS mendapatkan sijil halal untuk produk mereka.
“Maknanya, kita tak nak produk itu hanya untuk pasaran Jepun semata-mata tetapi ia bersifat serampang dua mata, dalam masa sama pelancong ataupun penduduk yang bekerja di sini yang beragama Islam boleh beli barangan halal yang kita bawa.
“Kita tengok kesedaran orang Jepun mengenai halal ini sudah ada dan mereka mahu sediakan produk halal untuk penuhi keperluan mereka yang beragama Islam. Menjadi cabaran bagi kita terangkan kepada mereka bahawa halal itu bukanlah semata-mata untuk orang Islam tetapi menjadi pilihan terbaik yang boleh digunakan walaupun kepada bukan Islam,” katanya.
Terdahulu, Naoya dalam ucapannya semasa perasmian program itu berkata program ini menjadi langkah penting dalam mengukuhkan lagi pertukaran dan kerjasama antara KPDN dan AEON Malaysia.
"Dasar kerajaan adalah untuk meningkatkan dan mengeksport perdagangan serta industri berkaitan halal dan kami berharap ia dapat dilaksanakan secara bersungguh-sungguh bukan sahaja di AEON Malaysia tetapi juga dengan memaksimumkan sinergi AEON Group.
"Ia bukan sahaja berkaitan soal mengenal pasti dengan pantas permintaan yang semakin berkembang untuk produk makanan halal dan memenuhi keperluan pasaran tetapi juga meneroka serta membina potensi budaya dan perniagaan masing-masing dengan matlamat sama. Kami percaya ini akan membawa kepada kejayaan pada masa depan,” katanya.
Selain AEON Mall Makuhari, program berkenaan turut diadakan di AEON Mall Kasai; AEON Mall Minamisuna, AEON Mall Style Shinonome, AEON Mall Style Himonya, AEON Mall Narita bermula semalam hingga 14 Okt ini dan penganjurannya bersempena ulang tahun ke-40 AEON Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial