AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Semakin Berkurangan Petang Ini, Perak, Johor Kekal

12/10/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah semakin berkurangan setakat 4 petang ini berbanding pagi tadi, manakala bilangan penduduk terjejas di Perak dan Johor kekal.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,387 orang daripada 718 keluarga berbanding 2,952 orang daripada 912 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa itu ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

“Di Kota Setar, seramai 1,475 orang daripada 440 keluarga ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Pendang 507 orang daripada 139 keluarga ditempatkan di dua PPS, Kubang Pasu 205 orang daripada 67 keluarga ditempatkan di dua PPS dan di Pokok Sena 200 orang daripada 72 keluarga ditempatkan di empat PPS.

“Sementara itu, tiga PPS yang dibuka di daerah Baling awal pagi tadi telah ditutup sepenuhnya selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir masih kekal dengan 136 orang daripada 40 keluarga yang berlindung di dua PPS di Kerian.

Seramai 71 orang daripada 20 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai pula menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga dan kesemua mangsa berada di kedua-dua PPS berkenaan kira-kira seminggu lepas.

“Keadaan air di kawasan rumah penduduk masih belum surut dan jalan juga masih belum boleh dilalui, justeru penduduk masih belum dibenarkan pulang,” maklum sekretariat berkenaan.

Sementara itu di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata jumlah mangsa banjir kekal seramai 17 orang daripada tiga keluarga setakat  4 petang ini dengan kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut, Batu Pahat.

“Tiga kawasan yang dinaiki air ialah Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan tujuh daerah dilaporkan hujan pada petang ini, selain Mersing, Kota Tinggi dan Tangkak yang berkeadaan mendung, manakala sebuah sungai iaitu Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong (Batu Pahat) berada pada paras waspada.

Selain itu, situasi banjir di PERLIS telah pulih sepenuhnya apabila dua PPS yang beroperasi di Kangar dan Arau masing-masing ditutup pada petang ini dan tengah hari tadi serta kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan