AM

Penduduk Sik Diingatkan Waspada Susulan Paras Air Sungai Chepir Melepasi Tahap Bahaya

13/10/2024 09:33 AM

SIK, 13 Okt (Bernama) -- Penduduk di daerah Sik, khususnya yang tinggal berhampiran kawasan sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan paras air Sungai Chepir kini telah melepasi paras bahaya.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik  Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata paras amaran bagi sungai tersebut adalah empat meter, namun paras air meningkat akibat hujan lebat berterusan dari 6 petang semalam hingga 6 pagi tadi.

"Paras air Sungai Chepir telah naik melebihi lima meter, menyebabkan air melimpah ke tebing dan memasuki rumah penduduk yang berada berhampiran sungai.

"Terdapat kira-kira 50 hingga 70 buah rumah di kawasan berdekatan sungai, dan saya berharap agar mereka sentiasa berwaspada serta segera berpindah jika diarahkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Haisul Aishah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima laporan banjir pada 7.56 malam tadi, yang melibatkan hampir 10 kampung di Mukim Sik dan Mukim Sok.

"Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan pada pukul 12.48 malam tadi, iaitu di Balai Islam Kampung Tanjung Belit dan surau Kampung Belimbing. Masing-masing menempatkan seramai 30 keluarga dan 20 keluarga.

"APM Sik turut membantu memindahkan lapan keluarga membabitkan empat keluarga di Kampung Jerai, dua di Kampung Seberang Pekan Sik dan dua di Kampung Charuk Padang, yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air," katanya.

Katanya seramai 37 mangsa banjir yang terperangkap berjaya diselamatkan malam tadi, termasuk seorang wanita mengandung dan empat warga emas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan