AM

Sultan Pahang Titah Isu Peniaga Cameron Highlands Diselesaikan Dengan Baik

13/10/2024 01:55 PM

KUANTAN, 13 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar isu 32 peniaga di Cameron Highlands dapat diselesaikan dengan cara baik.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan isu berkenaan turut berada dalam perhatian baginda dengan semua maklumat berkaitan telah disembah maklum.

"Baginda bertitah telah mendapat laporan daripada pihak Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan kerajaan berkenaan permasalahan tersebut.

"Baginda berpuas hati dengan laporan yang telah dipersembahkan dan meminta semua pihak akur dengan keputusan kerajaan negeri," menurut hantaran itu.

Sultan Pahang turut menasihatkan agar tiada pihak ketiga cuba mengeruhkan keadaan bagi memastikan sebarang permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Pada 8 Okt lepas, media melaporkan kerajaan negeri mengesahkan menerima laporan berkaitan dakwaan beberapa peniaga di Medan Agro, Cameron Highlands ditindas dengan kadar sewa yang dinaikkan hingga RM7,500 sebulan dan menyiasat aduan berkenaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan