AM

Malaysia Sering Terima Kunjungan Kapal Pertahanan Dari Negara Luar

13/10/2024 01:42 PM

MELAKA, 13 Okt (Bernama) -- Malaysia sering menerima kunjungan kapal-kapal pertahanan dari negara luar sebagai sebahagian daripada hubungan bilateral, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata permohonan untuk kunjungan tersebut biasanya disalurkan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sebagai sebahagian daripada hubungan dua hala antara Malaysia dan negara berkenaan, sebelum mendapat kelulusan Wisma Putra bagi kebenaran berlabuh.

"Di Kementerian Pertahanan, ini adalah sebahagian daripada proses untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara serantau, termasuk negara-negara di peringkat Asia mahupun antarabangsa.

“Oleh itu, bagi kita, hubungan antara negara amat penting untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul, terutama yang berkaitan dengan pertahanan negara. Saya berpendapat bahawa hubungan ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana kita tahu di mana pun kerajaan ini, hubungan bilateral ini tetap akan terjalin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Santuni MADANI peringkat Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan dua kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang.

Beliau dipetik sebagai berkata kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India dan dari destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, namun semuanya mengikut protokol yang dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.

Mengulas mengenai operasi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan, Adly berkata pasukan itu masih kekal di selatan negara itu dan keputusan membawa mereka pulang bergantung kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

“Arahannya masih kita kekal di posisi masing-masing cuma ada sedikit pembaharuan daripada segi tugasan.

“Jadi mungkin ada sebahagiannya masih bertugas di tempat-tempat tertentu tapi operasi kita dah hentikan mengikut perbincangan kita dengan UNIFIL sendiri…dan yang paling penting adalah keselamatan anggota kita,” katanya.

Mengulas mengenai Monsun Timur Laut (MTL), beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam keadaan siap siaga, dan semua kem telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan