EKONOMI

Belanjawan 2025: Industri Automotif Harap Tempoh Pengecualian Cukai Jalan EV Dilanjutkan

14/10/2024 06:16 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Peserta industri automotif mengharapkan tarikh akhir insentif pengecualian cukai jalan penuh bagi kenderaan elektrik (EV) dilanjutkan selain diperluas untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjelaskan langkah itu akan mendorong permintaan berterusan terhadap EV dan HEV di samping membolehkan pengilang membangunkan lebih banyak produk untuk memenuhi objektif neutral karbon 2030 oleh kerajaan.

Harapan MAA itu merujuk kepada pengecualian cukai jalan penuh  oleh Jabatan Pengangkutan Jalan untuk kenderaan EV dari 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2025, dengan persatuan itu mengharapkan tarikh akhir tersebut dilanjutkan.

Persatuan itu, yang mewakili pengedar, pemasang dan pengilang kenderaan motor baharu di Malaysia, turut mencadangkan duti import bagi bateri untuk EV dan HEV dimansuhkan.

“Duti import sifar ke atas bateri EV dan HEV juga akan menggalakkan penggunaan EV dan HEV oleh pengguna kerana pada masa ini, kos bateri EV/HEV menjadi penghalang kepada pengguna yang ingin menggunakan EV/HEV,” tambah MAA kepada Bernama.

Pada masa ini, bateri EV dan HEV tertakluk kepada 20 peratus duti import.

Sementara itu, pembuat kereta nasional Proton Holdings Bhd menyuarakan harapan agar industri itu diberi geran untuk merangsang perindustrian EV tanpa menjejaskan ekosistem automotif sedia ada.

“Kami mengharapkan geran pemasangan pengecasan EV untuk mewujudkan kemudahan pengecasan awam di kondominium dan pangsapuri. Ini akan meningkatkan kebolehcapaian untuk semua kumpulan pendapatan, meningkatkan mobiliti dan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik,” jelasnya.

Bagi memberikan sokongan kepada teknologi pesat membangun, Proton menggesa kerajaan memperuntukkan beberapa dana untuk latihan teknologi EV, penubuhan kemudahan latihan EV, serta geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk pembangunan komponen EV yang penting.

Pembuat kereta itu juga menggesa supaya dana khas diperkenalkan semula untuk membantu pembekal tempatan melabur dalam pembangunan R&D tempatan, memudahkan pemindahan teknologi dan mewujudkan keupayaan pembuatan bagi komponen generasi akan datang yang penting, menumpukan kepada bateri voltan tinggi serta pembaikan sistem.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan