EKONOMI

Melaka Sasar 70 Peratus Taman Teknologi Jerman Diisi Pelabur Dalam Dua Tahun

15/10/2024 03:07 PM

MELAKA, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyasarkan 70 peratus daripada 186 hektar Taman Teknologi Jerman (GTP) yang dalam pembinaan di Ayer Keroh, di sini akan diisi pelabur dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ketika ini, kerajaan negeri menerima kelulusan teknikal bagi pembangunan GTP dan pembinaan infrastrukturnya dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

"Justeru, kerajaan negeri akan giat mengadakan promosi ke Jerman selepas ini bagi memastikan hasrat tersebut tercapai sekali gus membuka kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

"GTP terletak kira-kira dua kilometer dari tol Ayer Keroh dan merupakan kawasan berpotensi untuk pelabur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Deutscher Brand Summit 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Negeri Baden-Württemberg, Jerman Dr Nicole Hoffmeiser-Kraut, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Azhar Arshad.

Ab Rauf berkata pembukaan GTP merupakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai hab pelaburan daripada syarikat berteknologi tinggi serta pemain industri fesyen dari Jerman.

Beliau berkata kerajaan negeri mewujudkan inisiatif Penggalak Perindustrian Melaka (MIB) bagi mempercepatkan lagi proses kelulusan permohonan pelabur atau pemaju yang ingin membuat pelaburan ke negeri itu.

"GTP seluas 186 hektar ini akan menjadi ikon kepada industri baharu di Melaka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan