AM

PDRM Mula Siasat Syarikat Berkaitan GISBH Di Luar Negara - Saifuddin Nasution

15/10/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan prosiding siasatan syarikat berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang beroperasi di luar negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata meskipun melanjutkan siasatan ke luar negara bukan satu tugas mudah, PDRM telah menghubungi pihak berkuasa di 18 negara yang dipercayai menjadi lokasi syarikat berkenaan beroperasi.

“Pihak polis telah memulakan langkah menghubungi negara-negara berkenaan dengan mengguna pakai mutual legal assistance (MLA) bagi memudahkan kerjasama," katanya pada sesi penerangan menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan PDRM memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISBH di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memaklumkan 15 kes telah dituduh di mahkamah di seluruh negara dan menunggu tarikh perbicaraan.

Malah beliau berkata terdapat kes melibatkan penderaan terhadap kanak kanak yang sudah disabitkan selepas tertuduh membuat pengakuan dan dihukum penjara selama 10 tahun.

“Wujud pelanggaran terhadap banyak undang-undang dan kita perlu menjalankan siasatan dengan betul, bertanggungjawab dan membiarkan proses undang-undang mengambil tempat yang sewajarnya.

“Yang jelas, tiada motif politik sama sekali dalam kerajaan mengendalikan kes ini dan jenayah terhadap kanak kanak telah berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan