JENAYAH & MAHKAMAH

Tun M Tidak Sihat, Bicara Kes Saman Terhadap Ahmad Zahid Ditangguh Ke 29 Okt

16/10/2024 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perbicaraan kes saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersambung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ditangguhkan ke 29 Okt selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke IJN petang semalam kerana mengalami jangkitan lower respiratory tract infection (LRTI).

"Oleh itu anak guam saya diberi sijil cuti sakit sehingga 25 Okt ini. Saya mohon agar perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan," kata peguam itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong kemudian menetapkan 29 dan 30 Okt serta 5, 6 dan 9 Dis ini untuk menyambung perbicaraan.

Dr Mahathir selaku plaintif masih memberi keterangan dalam kes samannya terhadap timbalan perdana menteri itu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu 'kutty'. 

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan