BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

191,832 Pelarian Dan Pemohon Suaka Di Malaysia Setakat September

18/12/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Seramai 191,832 pelarian dan pemohon suaka didaftarkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat September lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah itu, negara tertinggi ialah Myanmar seramai 168,813 orang atau 88 peratus diikuti Pakistan 5,755 (tiga peratus).

Yaman pula merekodkan 3,837 orang (dua peratus) manakala Afghanistan dan Somalia masing-masing lebih kurang 1,918 (satu peratus).

"Pelarian dan pemohon suaka berasal dari lain-lain negara merangkumi lima peratus daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka yang berada di Malaysia," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang meminta kerajaan menyatakan bilangan pelarian daripada pelbagai negara berada di Malaysia pada ketika ini dan apakah rancangan untuk menangani masalah sosioekonomi yang timbul akibat keberadaan pelarian itu.

Dr Zaliha berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada masa kini mengguna pakai Arahan MKN No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (semakan 2023) yang ditandatangani Perdana Menteri pada 14 Jun 2023 bagi mengurus dan menyelia segala perihal berkaitan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia. 

Beliau berkata arahan itu merangkumi mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka, perincian penentuan status pelarian oleh kerajaan, penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka dan sistem sokongan sosial yang akan diberikan kepada golongan berkenaan.

"Sebelum mekanisme pelaksanaan di bawah Arahan MKN No. 23 ini dapat dilaksanakan, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri perlu membangunkan sistem pendaftaran pelarian yang akan digunakan khusus untuk pendataan golongan ini di Malaysia.

"Dokumen ini bertujuan mendapatkan pendataan bagi mengurus pelarian dan pemohon suaka yang berada dalam negara," katanya.

Dr Zaliha berkata melalui pendataan itu, kerajaan mampu untuk mengawal serta memantau penglibatan dan aktiviti dijalankan oleh pelarian sekali gus menangani masalah sosioekonomi yang timbul.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan