JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen KL Serbu Dua Rumah Kedai Jadi Sarang Pelacuran Warga Asing

05/02/2025 10:35 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 20 individu termasuk 14 wanita warga asing dalam serbuan di dua rumah kedai yang dijadikan sarang pelacuran di sini hari ini.

  Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan serentak di Jalan Tun Razak dan Jalan Yew pada 5 petang itu dijalankan susulan maklumat risikan selama dua minggu.

 "Sebanyak 10 wanita warga asing terdiri daripada rakyat Bangladesh, Indonesia dan Vietnam di samping lima lelaki termasuk dua warga tempatan ditahan di premis di Jalan Yew. 

"Bagi serbuan di Jalan Tun Razak, empat wanita terdiri daripada warga Indonesia dan Vietnam serta seorang lelaki tempatan ditahan," katanya ketika dihubungi.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua 20 individu yang ditahan berusia 30 hingga 65 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c)  Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita warga asing berkenaan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan tempatan dan warga asing dengan kadar bayaran RM60. 

Wartawan Bernama yang menyertai operasi di Jalan Yew mendapati premis rumah kedai terbabit dilengkapi kamera litar tertutup bagi mengelak aktiviti persundalan mereka dikesan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di sebuah kilang percetakan di Kepong, di sini petang tadi, empat wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan berusia 30 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 .

Wan Mohammed Saupee berkata seorang lelaki warga tempatan turut ditahan dalam operasi itu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen iaitu melindungi warga asing tanpa pas atau permit yang sah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan