Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 29 Julai (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengarahkan pasukan perdagangannya untuk memulakan semula rundingan perdagangan dengan Thailand dan Kemboja susulan persetujuan kedua-dua negara itu terhadap gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di sepanjang sempadan bersama mereka.
Trump mengumumkan perkara itu menerusi platform Truth Social pada Isnin, menyatakan bahawa beliau telah bercakap dengan kedua-dua pemimpin - Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai - yang telah bersetuju dengan usaha damai dan gencatan senjata.
“Tahniah kepada semua! Dengan menamatkan peperangan ini, kita telah menyelamatkan ribuan nyawa. Saya telah mengarahkan pasukan perdagangan saya untuk memulakan semula rundingan perdagangan. Saya kini telah menamatkan banyak peperangan dalam tempoh hanya enam bulan – saya bangga menjadi Presiden Keamanan!” tulis Trump.
Dalam perkembangan berkaitan, Phumtham dalam satu kenyataan mengesahkan perbualan telefon itu dan berkata Presiden Trump telah menzahirkan kekaguman terhadap keberanian dan kepimpinan Thailand dalam mempromosikan keamanan dalam ASEAN.
Beliau berkata Trump memuji keterbukaan dan keberanian Thailand serta menyatakan negara itu telah menunjukkan contoh dalam memupuk keamanan di rantau berkenaan.
“Presiden Trump berkata tindakan ini menyaksikan Thailand mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa kerana berjaya menghentikan keganasan dan mencegah lebih banyak kehilangan nyawa. Beliau percaya pendekatan kita juga akan memberi manfaat kepada aktiviti ekonomi.
“Beliau menambah bahawa rundingan tarif akan dimulakan tidak lama lagi, yang akan membawa manfaat ketara kepada Thailand dan berjanji bahawa Amerika Syarikat akan melakukan yang terbaik untuk menyokong proses ini,” kata Phumtham.
Phumtham yang juga Menteri Dalam Negeri menambah bahawa Presiden Trump turut menyatakan minat untuk melawat Thailand, menyifatkannya sebagai sebuah negara yang kaya dengan nilai kebudayaan dan patut dikagumi.
Beliau berkata satu jemputan rasmi telah disampaikan kepada Trump berdasarkan minat mendalam Presiden itu untuk mengadakan lawatan.
“Berdasarkan perbualan kami, saya percaya rundingan tarif ini akan berjalan lancar, khususnya kerana Amerika Syarikat melihat Thailand sebagai rakan yang konstruktif dalam mempromosikan keamanan di seluruh ASEAN,” katanya.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa Presiden Perancis Emmanuel Macron juga telah memuji cara Thailand mengendalikan situasi berkenaan.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan ketegangan yang memuncak di kawasan sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN pada Isnin.
Perdana Menteri Hun Manet dan Phumtham mengesahkan semula komitmen mereka untuk meredakan ketegangan dan bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata serta memulihkan keadaan kepada normal, berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai 2025.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pusingan terbaharu pertempuran tercetus pada 24 Julai, dengan beberapa kejadian pertempuran bersenjata dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja, mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial