AM

Gangguan Aerotrain KLIA Bukan Disebabkan Kerosakan Mekanikal - Loke

06/08/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Gangguan perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini bukan disebabkan kerosakan mekanikal, sebaliknya hanya gangguan teknikal yang berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dalam mana-mana sistem, gangguan operasi seperti itu adalah perkara biasa dan perlu ditangani melalui penyelenggaraan sistem serta perisian secara berterusan.

“Ia bukan kerosakan, ini adalah gangguan teknikal, ini pepijat dalam perisian. Dalam apa-apa sistem, kadang ia akan ada tergendala, ada pepijat dan sebagainya yang perlu diperbetulkan.

“Gangguan itu dalam 15 minit dan ia dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan,” katanya selepas merasmikan Forum Transit Kereta Api Antarabangsa ASEAN-China 2025 di sini hari ini. 

Loke berkata beliau kesal dengan gangguan yang berlaku dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, namun menjelaskan perkhidmatan Aerotrain tetap mencatatkan jumlah penumpang yang tinggi dengan 1.5 juta penumpang sebulan dan ratusan perjalanan setiap hari.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi tumpuan serius kepada kontraktor dan vendor yang terlibat dalam penyelenggaraan perkhidmatan berkenaan.

Pada Isnin lepas, media melaporkan gesaan beberapa pihak mahukan Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA yang didakwa mengalami sekurang-kurangnya lima gangguan sejak beroperasi semula pada 1 Julai lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata projek perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) ke Johor Bahru berjalan mengikut perancangan dan tidak mengalami sebarang kelewatan seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

“Sudah pasti tidak tepat untuk mengatakan terdapat kelewatan. Saya telah menyebut beberapa bulan lepas bahawa projek ETS3 akan dilaksanakan secara berperingkat. Ia bukan kelewatan,” katanya.

Loke berkata ETS3 telah pun beroperasi sehingga ke Segamat (fasa pertama), manakala fasa kedua ke Kluang akan mula beroperasi sebelum 31 Ogos ini, diikuti fasa ketiga ke Johor Bahru Sentral pada penghujung tahun ini. 

Beliau berkata pihaknya masih menunggu pengesahan tarikh pelancaran fasa kedua kerana tren pertama akan dipandu oleh individu penting dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam bulan ini, selain komited untuk memulakan perkhidmatan itu sebelum 31 Ogos.

Sementara itu, Loke berkata Malaysia berhasrat untuk merealisasikan kesalinghubungan rel yang lebih meluas dengan China, khususnya dalam memudahkan pergerakan kargo rentas sempadan.

Beliau berkata kesalinghubungan sedemikian tidak dapat dicapai oleh Malaysia secara bersendirian dan memerlukan kerjasama erat dengan negara-negara anggota ASEAN yang lain, terutamanya Thailand dan Laos bagi memastikan integrasi serantau yang lancar.

“Kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian. Kita mesti bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN untuk meningkatkan kesalinghubungan antara ASEAN dan China,” katanya, sambil menambah kerjasama yang lebih erat akan memperkukuh rangkaian logistik dan hubungan ekonomi di seluruh rantau ini.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya pada forum itu, Loke berkata acara berkenaan melambangkan pengukuhan kerjasama ASEAN-China dan mencerminkan visi bersama ke arah masa depan yang lebih pintar, hijau dan kesalinghubungan.

Beliau berkata sektor kereta api global sedang mengalami kebangkitan semula, didorong oleh keperluan mendesak terhadap perubahan iklim, gangguan digital dan transformasi ekonomi.

“Bagi Malaysia, pelaburan dalam sektor kereta api bukan lagi sekadar pembangunan infrastruktur, malah menjadi satu keperluan ekonomi dan alam sekitar negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan