AM

STR JADI TALIAN HAYAT IBU TUNGGAL SARA KELUARGA

12/08/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ibarat ‘talian hayat’ bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk meringankan beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi buat ibu tunggal, peniaga kecil dan pekerja sambilan.

Nor Azura Mat Desa, 45, seorang ibu tunggal dan peniaga kecil dengan pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan berkata bantuan STR akan digunakan untuk membeli keperluan dapur dan memberi wang belanja kepada seorang anaknya yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sejak kematian suami empat tahun lepas, bantuan dan pelbagai inisiatif daripada kerajaan seperti STR ini sangat membantu, terutama untuk membeli barangan keperluan empat orang anak saya yang berusia antara 11 hingga 21 tahun.

“Alhamdulillah bersyukur sebab sangat-sangat membantu untuk ibu tunggal yang sedang berusaha membesarkan anak-anak seperti saya,” katanya, yang turut menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyalurkan pembayaran STR Fasa Tiga bermula hari ini, melibatkan peruntukan RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata 8.6 juta penerima bakal mendapat bantuan sehingga RM650 menerusi STR Fasa Tiga, peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 8.3 juta penerima Fasa Satu pada Januari lepas.

Seorang lagi penerima, Siti Aisah Nordin, 37, yang menyara anak tunggal dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan selepas kematian suami, meluahkan rasa syukur dan lega apabila permohonan STR untuk fasa tiga kali ini diluluskan.

“Alhamdulillah, tidak sabar untuk gunakan wang itu memandangkan saya seorang ibu tunggal, sangat-sangat lega dan memang membantu. Kalau tidak dapat (STR), susah sikit nak beli barang dapur dan kelengkapan anak saya yang masih di sekolah rendah,” katanya.

Sementara itu, Akmal Rizal, 23, yang bekerja sebagai penghantar makanan sambilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM1,500 sebulan berkata penyaluran STR Fasa Tiga ini sudah semestinya akan digunakan untuk membeli barangan dapur dan keperluan harian, selain membantu ibunya di kampung.

“Gaji saya tak menentu dan bukan selalu dapat belanja keluarga, jadi STR ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dan menggembirakan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan