KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan perlu melaksanakan Analisis Kos Faedah (CBA) sebelum mempertimbangkan Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata kerajaan menyambut baik cadangan untuk mengkaji potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan AI, memandangkan kawasan itu mempunyai kelebihan dari segi tenaga hidro, bekalan air dan infrastruktur asas.
Tetapi kata beliau, Terengganu masih belum berada dalam kelompok "hot spot" industri pusat data dan penilaian menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan projek itu benar-benar sesuai dan berdaya maju.
"Oleh yang demikian, perbincangan lanjut harus dilaksanakan dengan semua pihak berkepentingan bagi meneliti dan mengkaji kesesuaian Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI dari segi infrastruktur tenaga, air, dan rangkaian telekomunikasi yang memenuhi piawaian industri untuk menarik pelaburan strategik ke Terengganu," katanya.
Tengku Zafrul menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berhubung potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan AI pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dari segi tenaga, Tasik Kenyir mempunyai kelebihan dengan adanya loji janakuasa hidro di Kenyir dan Hulu Terengganu, selain potensi pembangunan projek solar terapung serta hab hidrogen hijau pada masa depan.
Mengenai bekalan air pula, loji rawatan air sedia ada mampu menampung permintaan dengan rancangan naik taraf sehingga 2027 untuk menambah kapasiti, katanya.
Tambahnya, infrastruktur telekomunikasi turut dipertingkatkan dengan liputan jalur lebar sehingga 1Gbps melalui projek Broadband for General Population (BBGP).
"Tetapi, kelajuan sedia ada masih belum mencukupi bagi memenuhi keperluan pusat data dan penaiktarafan adalah diperlukan sekiranya pembangunan pusat data dilaksanakan di kawasan itu," kata beliau.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial