AM

Misi Bantuan Gaza Bawa 30 Kontena Bakal Manfaatkan 100,000 Rakyat Palestin - Amirudin

06/04/2026 06:35 PM

SEPANG, 6 April (Bernama) -- Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang membawa 30 kontena bantuan kritikal, bakal memberi manfaat langsung kepada kira-kira 100,000 rakyat Palestin.

Menteri Besar Selangor yang juga ketua misi Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha itu juga sekali gus membuka laluan kepada kemasukan bantuan berskala lebih besar pada masa akan datang.

Beliau berkata bantuan yang dibawa menerusi misi berkenaan melibatkan lebih 300 tan barangan keperluan asas yang dihimpunkan dalam 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, syarikat, kerajaan negeri serta Persekutuan.

Amirudin berkata sekiranya misi itu berjaya dilaksanakan, impaknya bukan sahaja meringankan beban penduduk Gaza yang terperangkap akibat konflik berpanjangan, malah berpotensi memperluas akses kepada bantuan sokongan yang selama ini tersekat.

“Anggaran kita, 100,000 orang yang akan terkesan sekiranya kita berjaya melunaskan misi kali ini dan sudah pasti ia akan membuka pintu lebih luas kepada kehadiran bantuan-bantuan sokongan yang selama ini tersekat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran misi, di sini hari ini.

Amirudin berkata penyertaan hampir 3,000 sukarelawan dari hampir 100 negara dalam misi berkenaan, mencerminkan solidariti global terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang berlarutan sejak puluhan tahun.

Beliau menegaskan bahawa misi tersebut bukan sekadar usaha simbolik atau perhimpunan solidariti, sebaliknya satu gerakan kemanusiaan berskala besar yang bertujuan membawa bantuan secara langsung kepada penduduk yang memerlukan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata dua komponen utama misi sedang dirancang, iaitu penghantaran bantuan kecemasan melalui laluan darat dalam masa terdekat, serta pelancaran Global Flotilla 2.0 dari Barcelona sebagai usaha berterusan menembusi sekatan kemanusiaan.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan turut memainkan peranan penting melalui kerjasama antara kerajaan (G2G) dengan negara-negara terlibat, termasuk beberapa negara Eropah yang bersedia membuka laluan bagi memastikan misi kemanusiaan tersebut dapat dilaksanakan dengan selamat dan berkesan.

Amirudin berkata delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza akan bergerak mengikut jadual strategik yang dirancang dengan teliti bagi memastikan keselamatan semua peserta, khususnya sebelum ketibaan di pintu sempadan Rafah dalam beberapa hari lagi.

Beliau berkata pihak penganjur telah menyediakan beberapa pilihan jadual serta aturan operasi bagi memastikan pergerakan delegasi dilaksanakan secara selamat dan teratur, mengambil kira faktor keselamatan serta strategi semasa.

“Paling penting bagi kita ialah memastikan semua delegasi sampai sebelum pelepasan yang akan kita lakukan, terutamanya apabila sampai ke pintu Rafah dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Amirudin berkata jumlah peserta Malaysia yang menyertai misi kali ini dijangka lebih ramai berbanding tahun lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan sokongan rakyat negara ini terhadap usaha kemanusiaan membantu rakyat Palestin.

“Tahun lepas kita ada 34 peserta Malaysia. Untuk kali ini, kita telah menerima permohonan yang begitu banyak dan jumlahnya akan dimaklumkan apabila kita mula membuat pelepasan dari Barcelona nanti,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus mendoakan kejayaan misi berkenaan demi memastikan bantuan yang dibawa dapat sampai kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan.

“Semoga doa berterusan, sokongan berterusan kepada wira-wira kita yang akan bergerak dan yang bersedia untuk membawa mesej keamanan dan melepaskan kepungan, seterusnya melengkapkan impian kita untuk melihat Gaza dan Palestin bebas untuk kita datang dan menjadi antara tempat tumpuan serta tempat suci umat Islam pada hari ini dan pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan