IPOH, 8 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menyalurkan peruntukan sebanyak RM393,000 menerusi Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) edisi 2025/2026 bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM196,000 disalurkan untuk kategori Seni Visual, diikuti Seni Muzik (RM138,000) dan Seni Persembahan (RM59,000).
"Sebanyak 221 permohonan telah diterima untuk edisi kali ini dengan 123 permohonan diluluskan.
“Sejak diperkenalkan pada 2019, DKP@PORT telah menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.822 juta, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan industri kreatif," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan DKP@PORT 2025/2026 di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah PORT Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar PORT Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Saarani berkata dana berkenaan merupakan inisiatif penting dalam menyediakan sokongan kewangan kepada penggiat seni tempatan bagi melaksanakan projek serta program berteraskan seni, budaya dan kandungan kreatif.
"Matlamat utama DKP adalah untuk menyokong kelangsungan amalan seni dalam kalangan penggiat seni visual, muzik serta seni persembahan moden dan kontemporari, di samping memperkasakan bakat tempatan untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Nur Hanim berkata setiap permohonan telah melalui proses penilaian teliti oleh panel penasihat terdiri daripada Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM) Dr Shafa’atussara Silahudin, pakar audiovisual dan perfileman Azharul Azmir Kamarulzaman serta Kurator Kanan Balai Seni Negara Baktiar Naim Jaaffar.
"Antara projek yang bakal dilaksanakan termasuk rakaman album, pameran seni visual, bengkel seni dan filem, produksi filem pendek dan dokumentari, penerbitan video muzik serta komik, selain pelbagai program komuniti di luar Lembah Kinta.
"Beberapa projek di bawah DKP turut mencatat kejayaan membanggakan, antaranya pasukan koir deVokalis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meraih pelbagai anugerah di Medan World Choral Festival 2025 di Indonesia, sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial