EKONOMI

Mitsubishi Motors Sasar Jual Sehingga 800 Unit Xforce Bulan Ini

08/04/2026 01:54 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyasarkan untuk menjual sehingga 800 unit Mitsubishi Xforce yang baharu dilancarkan bulan ini, yang menawarkan dua varian bermula pada harga RM109,610.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Takashi Sakamaki berkata pengedar kenderaan itu menyasarkan purata jualan sebanyak 500 unit sebulan. 

“Kami amat yakin dapat mencapai sasaran ini. Setakat ini, kami sudah menerima sebanyak 2,600 tempahan,” katanya kepada wartawan selepas majlis pelancaran Mitsubishi Xforce di sini, hari ini. 

Takashi juga berkata syarikat itu kekal yakin untuk melepasi 3,000 tempahan melebihi sasaran asalnya iaitu 2,000 tempahan. 

Dalam pada itu, Mitsubishi Xforce serba baharu itu akan ditawarkan dalam dua varian, iaitu Urban pada harga RM109,980 dan Ultimate berharga RM119,980.

Menurut MMM, tempahan awal termasuk rebat tunai RM5,000, tiga perkhidmatan buruh percuma, yang menjadikan kos penyelenggaraan selama lima tahun berkurang kepada hanya RM3,900 dan penyertaan dalam peraduan Xforce ‘Beli 1 Percuma 1’.

Mengulas mengenai kenaikan harga minyak berikutan konflik berterusan di Asia Barat, Takashi berkata situasi itu tidak menjejaskan tempahan bagi model petrol dengan ketara. 

Katanya, ini kerana sebahagian besarnya disebabkan oleh harga bahan api bersubsidi di Malaysia, dengan RON95 kekal stabil pada RM1.99 seliter, kadar yang luar biasa berbanding negara lain di seluruh dunia. 

“Oleh itu, kami tidak melihat kesan besar terhadap permintaan kenderaan petrol pada ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu berbeza bagi diesel, dengan harga meningkat kepada sekitar RM6.00 seliter, iaitu lebih dua kali ganda berbanding paras sebelumnya. 

“Peningkatan ini dijangka memberi kesan yang ketara terhadap model berkuasa diesel, terutamanya bagi trak pikap.

“Lebih kurang ia akan menjejaskan permintaan, tetapi situasi ini hanya berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Bagi Malaysia Timur, harga diesel kekal stabil, jadi kami melihat peluang yang besar di sana,” tambahnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan