KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) bagi menyokong aktiviti dan kebajikan ahli persatuan berkenaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti veteran RTM yang telah banyak mencorakkan sejarah penyiaran negara.
“Saya sangat mengalu-alukan dan menyokong usaha rakan-rakan daripada PVRTM yang dilihat semakin aktif. Saya masih ingat, pada peringkat awal, pejabat PVRTM hanya terletak di bawah tangga, namun kini kita telah memperluas dan menambah baik kemudahan tersebut.
“Mereka telah mendapat ruang yang lebih selesa dan saya juga akan terus memberi sokongan, termasuk dari segi kewangan, hampir setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri PVRTM di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.
Dalam pada itu, Fahmi turut mencadangkan supaya program khas dirangka melibatkan PVRTM, bersempena sambutan ulang tahun RTM ke-80.
“Ramai dalam kalangan veteran ini adalah seangkatan dengan ibu dan pak cik saya sejak zaman Radio Malaya lagi. Mereka adalah sebahagian daripada sejarah penyiaran negara, jadi saya harap sempena 80 tahun RTM, ada beberapa program khas dengan PVRTM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial