AM

UMT Catat Sejarah Diiktiraf Enam Bintang Talentbank

12/04/2026 07:47 PM

KUALA NERUS, 12 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mencatat sejarah apabila diiktiraf sebagai antara institusi peneraju kebolehpasaran graduan negara menerusi Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank 2026, iaitu penanda aras nasional yang dinilai secara langsung oleh majikan industri di Malaysia.

UMT dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu membawa makna besar apabila ia mencerminkan tahap keyakinan tinggi majikan terhadap kualiti graduan UMT, khususnya dari segi kesediaan memasuki alam pekerjaan, kecekapan profesional serta prestasi kerja sebenar di lapangan.

“Penilaian itu turut mengambil kira kecenderungan majikan untuk terus memilih graduan daripada universiti yang sama, sekali gus menjadi indikator kukuh terhadap kebolehpercayaan dan nilai tambah graduan UMT di pasaran kerja,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan UMT turut mencatat kejayaan signifikan apabila dua kategori bidang utama universiti, iaitu Pertanian dan Analisis telah dianugerahkan pengiktirafan berprestij Anugerah Pilihan Majikan 6 Bintang Talentbank. 

UMT berkata kedua-dua bidang itu berada dalam kelompok terbaik negara berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan daripada pelbagai sektor industri, termasuk syarikat multinasional, GLC dan pemain industri utama.

“UMT terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui pendekatan strategik yang digerakkan secara berfokus menerusi Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh ekosistem universiti dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kebolehan sebenar yang selari dengan keperluan industri semasa.

”Pengiktirafan ini membuktikan pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman, kolaborasi erat bersama industri serta penekanan terhadap pembangunan kemahiran masa hadapan yang diterapkan oleh UMT berada pada landasan yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata UMT akan terus memperkukuh sinergi bersama industri melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan, adaptif dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

Beliau berkata kerjasama antara UMT dan Talentbank itu turut membuka ruang jaringan strategik yang lebih luas, menghimpunkan pelbagai organisasi terkemuka dalam satu ekosistem kerjasama yang dinamik, sekali gus bukan sahaja memperluas peluang penempatan kerjaya graduan tetapi memperkukuh pembangunan bakat secara lebih tersusun dan berimpak tinggi. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kejayaan itu dilihat sebagai pemangkin kepada UMT untuk terus mempergiat usaha dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dan keusahawanan pelajar secara lebih agresif dan berstrategi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan