KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan merancang memperluas penganjuran program kerohanian "Quranic MADANI" pada skala lebih besar bagi menyebarkan mesej kasih sayang, keamanan dan perpaduan secara lebih meluas dalam kalangan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata program dengan pengisian selawat, zikir, munajat dan tazkirah itu ialah landasan penting dalam membentuk keharmonian negara.
"Program Quranic MADANI kita mulakan pada hari ini, kemudian kita akan teruskan lagi secara berskala besar... kita ingin membawa mesej keamanan dan perpaduan untuk merapatkan lagi ukhuwah serta silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Quranic MADANI: Night Reset - Bersatu dalam Saf di Bukit Bintang malam ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata mesej yang dibawa menerusi program itu ialah cerminan kepada aspirasi rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.
"Mesej yang disampaikan ini adalah mesej kasih sayang, hormat-menghormati serta kesederhanaan untuk kita mewujudkan negara Malaysia yang aman, sentosa selain menjadi negara yang maju dan terbaik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial