KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir khususnya golongan miskin dan rentan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata arahan itu dibuat setelah mengambil kira impak krisis bekalan global yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian.
Perkara itu dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi Malaysia sepanjang krisis tersebut.
“MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu melaksanakan inisiatif pengurangan kadar sewa premis bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi.
“Kerajaan MADANI telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat.
"Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar," katanya.
Anwar berkata mesyuarat itu turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup termasuk pembangunan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global berkata MTEN menggesa PBT dan kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar sewa premis atau kedai di bawah seliaan masing-masing, berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, beliau memaklumkan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global yang dibangunkan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia dijangka boleh diakses oleh orang awam bermula 15 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial