PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan 1 Ogos depan.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon PRN Johor pula ditetapkan pada 27 Jun, manakala bagi Negeri Sembilan pada 18 Julai.
Sementara itu, tarikh pengundian awal PRN Johor pada 7 Julai, manakala bagi Negeri Sembilan ditetapkan 28 Julai.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Ramlan berkata tempoh berkempen bagi kedua-dua PRN itu ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam sebelum hari pengundian.
Katanya urusan penamaan calon bagi PRN Johor akan diadakan di 56 pusat penamaan calon (PPC), manakala lapan PPC akan dibuka di Negeri Sembilan.
Bagi kos pelaksanaan pilihan raya berkenaan, Ramlan berkata PRN Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRN Negeri Sembilan melibatkan RM80.6 juta.
Mengenai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan, Ramlan berkata bagi PRN Johor melibatkan seramai 2.70 juta pengundi biasa, manakala 867,151 pengundi layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata bagi urusan pengundian awal, seramai 24,751 anggota tentera dan polis serta pasangan terlibat di Johor, manakala 22,339 individu bagi Negeri Sembilan.
“Kesemua mereka akan mengundi di 64 pusat mengundi awal yang disediakan di Johor dan 38 pusat mengundi awal di Negeri Sembilan,” katanya.
“Bagi urusan undi pos, permohonan kategori dalam dan luar negara untuk PRN Johor telah dibuka sejak 5 Jun lepas, manakala bagi Negeri Sembilan ia bermula pada hari ini,” katanya.
Ramlan berkata tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan media) ditetapkan pada 24 Jun bagi Johor dan 15 Julai untuk Negeri Sembilan.
Katanya, bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan 1C (agensi atau organisasi), tarikh tutup adalah pada 19 Jun untuk Johor dan 10 Julai bagi Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau berkata SPR akan melantik sebanyak 42,971 petugas bagi PRN Johor yang melibatkan 1,076 pusat mengundi biasa dengan 4,889 tempat mengundi atau saluran.
Bagi Negeri Sembilan, sebanyak 15,344 petugas akan dilantik untuk mengendalikan 401 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,668 tempat mengundi atau saluran, katanya.
Ramlan turut mengingatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan melalui portal mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR menerusi talian 03-8892 7218.
Selain itu, SPR turut menawarkan pelantikan pemerhati pilihan raya kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan berminat untuk memantau proses PRN, bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan.
"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR," katanya.
Pada 1 Jun lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi pula dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial