PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Faktor logistik, latihan petugas serta tahap kesiapsiagaan adalah antara sebab utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata jentera di Negeri Sembilan memerlukan tempoh persediaan lebih panjang susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mengejut.
"Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut (snap election), keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.
"Kita selesaikan (PRN) Johor terlebih dahulu, kemudian kita bawa semua pasukan (dari Johor) untuk membantu Negeri Sembilan. Kalau buat (PRN) serentak, persiapan memang tidak sempat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan, di sini hari ini.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 5 Jun setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mengenai dakwaan ketidaksahihan pembubaran DUN Negeri Sembilan, Ramlan menegaskan perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa SPR.
Ramlan memaklumkan SPR telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu pembubaran itu dan setakat ini tiada sebarang isu berbangkit.
Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, tarikh penamaan calon adalah pada 18 Julai, manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial