KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung yang memilih untuk menyuarakan pandangan mengenai hala tuju parti menerusi media sosial berbanding hadir ke mesyuarat rasmi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata sebagai pemimpin yang dipilih oleh anggota parti dalam pemilihan lepas, Lee sepatutnya menggunakan platform mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk menyuarakan sebarang pandangan atau kritikan.
Beliau memberi contoh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong, yang kekal berprinsip menghadiri mesyuarat MPP untuk menyatakan pendiriannya, walaupun sering kali mempunyai pandangan yang jauh berbeza daripada kepimpinan tertinggi.
“Platform itulah (mesyuarat MPP) yang beliau (Wong) gunakan untuk pastikan bagi beliau, parti kekal di landasan yang betul dan sepatutnya (Lee) Chean Chung melakukan perkara yang sama tetapi beliau dah lama tidak hadir mesyuarat MPP,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini selepas ditanya mengenai peletakan jawatan Lee sebagai ahli MPP PKR.
Media hari ini melaporkan Lee mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ahli MPP PKR, namun kekal sebagai ahli parti.
Keputusan berkenaan dibuat selepas beliau merasakan parti berkenaan bukan lagi parti yang dikenalinya sewaktu menyertai pada 2008.
Fahmi berkata beliau mengenali Lee sejak ahli parlimen itu berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Parlimen dan melihat tiada perubahan ketara dari segi landasan serta perjuangan parti hingga ke hari ini.
Beliau berkata Lee turut memikul tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada anggota parti yang telah memberikan undi kepadanya susulan peletakan jawatan itu.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Lee menerima tekanan daripada parti termasuk sekatan akses myKhas, Fahmi berkata pintu perbincangan sentiasa terbuka bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit tanpa perlu mengelak.
“Dalam apa-apa perkara, boleh datang berbincanglah. Tidak menjadi isu, malah saya boleh nyatakan saudara (Lee) Chean Chung ada berhubung dengan saya tapi tak ada bangkitkan isu ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial