DUNIA

Trafik Bergerak Semula Di Selat Hormuz, Perjanjian AS-Iran Belum Muktamad

19/06/2026 09:26 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Reuters) -- Kapal tangki minyak kini melayari Selat Hormuz dan Amerika Syarikat (AS) berkata ia menarik balik sekatannya ke atas Iran pada Khamis susulan perjanjian sementara untuk menamatkan perang berkuat kuasa, walaupun isu utama masih belum diselesaikan antara kedua-dua negara.

Harga minyak jatuh ke paras terendah sejak perang bermula pada 28 Feb, kerana menurut penganalisis, eksport melalui selat itu, yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global, mampu kembali normal dalam beberapa bulan akan datang.

Namun Israel masih meneruskan perangnya terhadap Hizbullah di Lubnan, menimbulkan persoalan sama ada perjanjian itu akan dilaksanakan.

Di Washington, beberapa sekutu Republikan Presiden Donald Trump dalam Kongres mempersoalkan sama ada beliau terlalu banyak beralah untuk menamatkan konflik, yang tidak popular dengan pengundi AS.

Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Moitaba Khamenei berkata Trump menandatangani perjanjian itu "kerana terdesak" dan memberi isyarat bahawa rundingan akan datang mengenai program nuklear Iran - alasan Trump yang dinyatakan untuk memulakan perang - tidak akan berlangsung dengan mudah.

“Jika pihak Amerika mahu terlalu menuntut, kami tidak akan menerimanya,” katanya dalam mesej bertulis.

Perjanjian itu memberikan tempoh 60 hari kepada perunding bagi mencapai persetujuan mengenai status program nuklear Iran dan menubuhkan dana pembinaan semula US$300 bilion untuk Iran dan insentif kewangan lain.

Naib Presiden AS JD Vance, yang akan mengetuai delegasi AS, berkata Washington juga akan berusaha untuk mengehadkan peluru berpandu jarak jauh Tehran.

Apabila beliau melancarkan perang hampir empat bulan lepas, Trump berkata beliau berhasrat untuk memusnahkan program senjata nuklear Iran, menamatkan keupayaannya untuk menyerang negara jiran, menghalangnya daripada menyokong militan bersekutu di rantau itu dan membolehkan rakyat Iran menjatuhkan pemimpin berfahaman keras mereka.

Walaupun beliau pada mulanya menuntut Iran untuk "menyerah tanpa syarat," Trump akhirnya menandatangani perjanjian itu tanpa satu pun objektif berkenaan tercapai.

Pegawai AS berkata rundingan itu masih boleh menghasilkan persetujuan yang kukuh mengenai program nuklear Iran tetapi pengkritik mengatakan Iran berada dalam kedudukan yang lebih kukuh sekarang, setelah berjaya menahan serangan kuasa besar, menguasai Selat Hormuz dan memperoleh pembatalan yang berharga atas sekatan kewangan.

Iran memberi isyarat bahawa ia masih akan mengawal selat itu, berkata ia akan mengeluarkan permit dan mengarahkan lalu lintas dalam tempoh 60 hari, walaupun tiada bayaran akan dikenakan pada masa tersebut.

Bagaimanapun di Lubnan, di mana lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran, pasukan Israel melancarkan serangan udara baharu awal Khamis, menimbulkan keraguan tentang sejauh mana kesungguhan Trump untuk memaksa sekutu perangnya menghentikan serangan yang kini telah dijanjikannya untuk ditamatkan.

Trump berkata beliau menjangkakan gencatan senjata yang menyeluruh di semua lokasi. “AS komited kepada kedamaian, dan kami menggalakkan semua orang di Wilayah Timur Tengah untuk mengekalkan komitmen mereka untuk membenarkan rundingan kami berlangsung dengan baik," katanya di media sosial.

Perjanjian itu memerlukan "penamatan kekal" perang di Lubnan dan "integriti wilayah dan kedaulatannya" dipastikan.

Israel, yang bukan sebahagian daripada (pihak terlibat) rundingan, berkata ia tidak berniat untuk berundur daripada Lubnan dan mengeluarkan peta baharu menunjukkan zon pendudukan yang diperluas.

Trump secara terbuka mengkritik operasi Israel di Lubnan, yang membawa kepada salah satu perpecahan terbesar antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad.

Vance memberi amaran kepada Israel agar menghormati proses damai.

"Jika saya berada dalam kabinet kerajaan Israel, saya mungkin tidak akan menyerang satu-satunya sekutu kuat saya yang masih tinggal di seluruh dunia," katanya di Rumah Putih.

-- REUTERS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan