Oleh Shuhaida Mohd Said
ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) -- Pengalaman nyaris terkena peluru sesat ketika membuat liputan di zon konflik di Bangkok, Thailand masih segar dalam ingatan seorang bekas jurufoto akhbar meskipun peristiwa itu sudah lebih dua dekad berlalu.
Bagi Shahrizal Md Noor, 60, detik cemas itu antara pengalaman paling mengerikan sepanjang lebih tiga dekad bergelar pengamal media, sekali gus membuka matanya tentang bahaya serta risiko sebenar yang terpaksa dihadapi mereka tatkala bertugas di kawasan bergolak.
Mengimbau kembali memori hitam sekitar tahun 2000 itu, bekas jurufoto di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu berkata beliau bersama rakan-rakannya sedang berehat sambil menyiapkan tugasan di sebuah restoran sebelum dikejutkan dengan bunyi cermin berkecai akibat terkena tembakan.
"Saya ditugaskan untuk membuat liputan konflik antara (penyokong) 'baju merah' dan 'baju kuning' di Thailand. Ketika itu, boleh dikatakan ia antara rusuhan dan pertempuran jalanan paling ganas serta berdarah di Bangkok.
“Ketika sibuk membuat kerja, kami langsung tidak sangka akan ada tembakan dilepaskan dari luar restoran dan peluru itu betul-betul mengenai cermin dekat tempat duduk kami. Detik itu membuatkan kami sedar betapa tipisnya sempadan antara hidup dan mati," katanya kepada Bernama.
Trauma dengan insiden berkenaan, ia menjadi titik tolak kepada Shahrizal dan rakan-rakannya untuk segera mengambil inisiatif mendapatkan jaket kalis peluru demi melindungi keselamatan diri masing-masing biarpun terpaksa menggunakan duit sendiri.
Menerusi bantuan kenalan di Thailand, mereka berjaya memperoleh jaket kalis peluru berharga lebih RM500 dan jumlah berkenaan disifatkan agak mahal pada waktu itu, namun demi keselamatan, wang ringgit bukan lagi ukuran.
“Jaket itu walaupun berat, ia membuatkan kita rasa selamat. Sekembalinya dari tugasan itu, kami diberitahu boleh buat tuntutan semula wang yang dibelanjakan, namun jaket berkenaan perlu diserahkan kepada syarikat.
“Saya bagaimanapun hendak simpan jaket itu, senang untuk digunakan kemudian hari sekiranya diminta bertugas lagi di zon konflik selain boleh dijadikan sebagai kenangan. Bukan semua wartawan mahupun jurufoto diberi peluang untuk membuat liputan di kawasan bergolak,” katanya.
Shahrizal berkata tugas wartawan dan jurufoto sering dilihat mudah oleh masyarakat, namun hakikatnya kerjaya itu menuntut pelbagai pengorbanan termasuk dari segi masa, tenaga, kewangan dan keselamatan diri.
Biarpun berdepan pelbagai risiko sepanjang kerjayanya, Shahrizal berkata beliau sedikit pun tidak pernah menyesal memilih kerjaya itu yang telah memberinya peluang menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah selain membantu mengubah kehidupan masyarakat.
"Hati rasa sangat puas dan terharu apabila dapat membantu orang ramai melalui hasil kerja kita. Misalnya liputan mengenai orang sakit kronik yang memerlukan belanja rawatan atau orang susah yang perlukan bantuan yang kemudiannya nasib mereka akhirnya terbela," katanya.
Begitu juga dengan bekas wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Rusiah Abd Hamid, 64, yang berpendapat tugas wartawan tidak lagi terhad kepada melaporkan perkembangan semasa berkaitan politik, ekonomi atau isu masyarakat semata-mata.
"Bila orang tahu kita (wartawan) mudah berhubung dengan wakil rakyat, mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau jabatan, ada yang cari kita untuk minta tolong menjadi pemudah cara menyelesaikan sesuatu isu.
"Namun, kita pun sebelum bantu orang, mesti siasat terlebih dahulu untuk pastikan orang yang hendak dibantu itu benar-benar jujur dan bukannya berniat jahat ambil kesempatan mempergunakan media,” katanya.
Bagi Rusiah, antara pengalaman paling menyentuh hati sepanjang bergelar wartawan ialah apabila berjaya membantu seorang ibu tunggal mualaf bersama tiga anaknya yang kehilangan tempat tinggal selepas kematian suami dan diusir keluarga mentua.
“Anak-anak turut berhenti sekolah sebab kesempitan hidup dan dia hubungi saya untuk tahu cara mendapatkan bantuan. Alhamdulillah, kes itu berjaya dirujuk kepada pejabat zakat dan akhirnya wanita itu dibantu," katanya yang bersara wajib pada 2022.
Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, kedua-dua veteran media itu berharap generasi wartawan masa kini akan terus mempertahankan integriti profesion, menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tidak melupakan peranan utama wartawan sebagai suara kepada masyarakat.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 bakal diadakan di PICCA, Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial