MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Penganjuran Pertandingan Video Kreatif sempena Bulan Keselamatan Negara 2026 Peringkat Negeri Melaka berjaya menjadi platform berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara keselamatan negara melalui penyampaian kandungan digital yang kreatif dan berimpak.
Pengarah Keselamatan Negeri Norazle Sulaiman berkata pertandingan bertemakan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” itu dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka bagi memupuk semangat tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat terhadap aspek keselamatan negara.
Beliau berkata para peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat diberi peluang menghasilkan video kreatif berasaskan salah satu elemen atau nilai teras yang terkandung dalam Dasar Keselamatan Negara.
“Peserta menampilkan pelbagai idea kreatif dan inovatif dalam menyampaikan mesej keselamatan negara, termasuk aspek keselamatan siber, kesepaduan nasional, kestabilan politik, keselamatan rakyat serta ancaman keselamatan semasa yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat kreatif dalam penghasilan kandungan digital, malah menjadi medium pendidikan awam yang berkesan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Dasar Keselamatan Negara dan peranan setiap individu dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Johan pertandingan Muhammad Zarul Afify, 28, meraih kemenangan menerusi video bertajuk “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” yang mengetengahkan Nilai Teras Keselamatan Negara ketiga iaitu Kesepaduan Nasional sebagai elemen penting dalam menjamin keselamatan negara.
Muhammad Zarul berkata idea menghasilkan video itu tercetus daripada kesedaran bahawa keselamatan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat.
“Saya percaya setiap rakyat mempunyai peranan dalam menjaga keselamatan negara. Mungkin ada yang beranggapan keselamatan negara hanya melibatkan pasukan keselamatan, tetapi sebenarnya tindakan harian seperti menjaga keharmonian masyarakat, menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan peka terhadap ancaman semasa turut memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500, hadiah iringan dan sijil penyertaan, sekali gus akan mewakili Melaka ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Syamil Sahat, 31, meraih tempat kedua dan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga menjadi milik Amizan Lokman, 28, yang membawa pulang wang tunai bernilai RM500 serta hadiah iringan dan sijil penyertaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial